3 pelajar cedera ditikam di sekolah

3 pelajar cedera ditikam di sekolah

Dalam kejadian di Finland itu, suspek dipercayai berusia 16 tahun menghantar satu manifesto kepada beberapa organisasi media sebelum serangan.

Sekurang-kurangnya tiga pelajar cedera ditikam di sebuah sekolah di selatan Finland namun tiada kecederaan yang mengancam nyawa. (Gambar EPA Images)
HELSINKI:
Sekurang-kurangnya tiga pelajar cedera ditikam di sebuah sekolah di selatan Finland pada Selasa, menurut pihak berkuasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut polis, seorang pelajar ditahan namun tiada mangsa mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.

Serangan itu berlaku di Sekolah Vahajarvi di Pirkkala, yang terletak di barat daya bandar Tampere. Sekolah itu mempunyai kira-kira 1,250 murid dari peringkat prasekolah hingga gred sembilan.

Media tempatan melaporkan yang suspek dipercayai berusia 16 tahun menghantar satu manifesto kepada beberapa organisasi media sebelum serangan, mendakwa dia berniat untuk menyasarkan pelajar perempuan.

Polis bagaimanapun belum mengesahkan kewujudan manifesto itu secara rasmi, namun menyatakan yang mereka menyedari bahan yang diterbitkan dan sedang menelitinya sebagai sebahagian daripada siasatan.

Pihak berkuasa merancang untuk memberikan maklumat lanjut dalam sidang media lewat Selasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.