
Ia memberitahu sebuah mahkamah di London bahawa penggantungan eksport akan menjejaskan keselamatan Britain dan merosakkan hubungan dengan Israel serta sekutunya.
Kumpulan hak asasi manusia mengheret kerajaan UK ke Mahkamah Tinggi minggu ini atas dakwaan ia melanggar undang-undang antarabangsa dengan membenarkan pengeksportan komponen jet pejuang stealth Lockheed Martin F-35.
NGO Palestin, Al-Haq dengan sokongan Amnesty International, Human Rights Watch dan Oxfam memohon perintah mahkamah melarang bekalan komponen buatan UK untuk jet tempur AS, yang digunakan Israel untuk menyerang Gaza serta Tebing Barat.
Awal minggu ini, barisan peguam Al-Haq berkata, kerajaan tahu “risiko jelas” Israel akan menggunakan komponen jet itu untuk melanggar undang-undang antarabangsa.
Tetapi, peguam kerajaan, James Eadie pada Khamis berkata, Jabatan Perdagangan UK bertindak mengikut undang-undang dan penggantungan lesen eksport akan menjejaskan program F-35 global serta membawa “risiko sangat serius kepada UK dan keselamatan antarabangsa”.
Menurutnya, mahkamah tiada bidang kuasa memutuskan kesahihan tindakan Israel dan cubaan berbuat demikian mendatangkan kesan yang “berpotensi merosakkan hubungan luar dengan negara sahabat, iaitu Israel”.
Katanya, penggantungan lesen senjata perlu mengambil kira hubungannya dengan Israel untuk “memastikan hubungan terus mesra”.
Pada September 2024, kerajaan baharu mengumumkan penggantungan 30 daripada 350 lesen eksport senjata ke Israel susulan semakan pematuhannya terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Tetapi, penggantungan separa itu tidak meliputi komponen F-35 buatan British.
Menurut Oxfam, sistem sasaran laser, peralatan mengisi minyak, tayar dan kerusi lenting antara komponen buatan Britain.
Sebelum ini, setiausaha pertahanan Britain dilaporkan berkatam penggantungan lesen F-35 akan “menggugat keyakinan Amerika Syarikat terhadap UK dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato)” serta tidak dapat dilakukan tanpa “impak meluas kepada keseluruhan program F-35”.
Tetapi, peguam mewakili Al-Haq menyifatkan pengecualian F-35 sebagai “kelemahan” yang membolehkan komponen itu sampai ke tangan Israel melalui sistem penyatuan global.
Dalam kenyataan berasingan, NGO berpangkalan di UK, Campaign Against Arms Trade berkata, statistik pelesenan menunjukkan “peningkatan mengejutkan dalam eksport ketenteraan ke Israel” dalam tempoh beberapa bulan selepas pengumuman penggantungan separa pada September 2024.
Menurutnya, angka itu menunjukkan UK meluluskan £127.6 juta (USD170 juta) peralatan ketenteraan kepada Israel dalam lesen terbitan tunggal dari Oktober hingga Disember 2024, melebihi jumlah keseluruhan bagi 2020 hingga 2023.
Kebanyakan lesen itu untuk radar, komponen dan perisian ketenteraan serta peralatan sasaran, menurut NGO berkenaan yang turut terbabit dalam kes mencabar kerajaan UK.
Tidak pasti bila keputusan akan dibuat selepas perbicaraan empat hari, yang berakhir Jumaat.