Eksport senjata ke Israel, kerajaan UK dibicarakan

Eksport senjata ke Israel, kerajaan UK dibicarakan

Kes itu turut disokong beberapa pertubuhan hak asasi manusia yang mahu kerajaan UK menggantung segera semua eksport senjata ke Israel.

penunjuk perasaan london
Penunjuk perasaan membawa sepanduk ketika mengadakan demonstrasi terhadap penjualan senjata kepada Israel di Mahkamah Keadilan Diraja di London pada Selasa. (Gambar EPA Images)
LONDON:
Mahkamah Keadilan Diraja di sini pada Selasa mula mendengar kes mencabar tindakan kerajaan United Kingdom (UK) terus membekalkan senjata ke Israel, lapor Anadolu Ajansi.

Perbicaraan selama empat hari itu difailkan Global Legal Action Network (GLAN) dan NGO Palestin, Al-Haq, yang mengheret kerajaan UK ke Mahkamah Tinggi berhubung eksport senjata ke Israel “walaupun terdapat pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa dan peraturan UK yang menuntut penggantungan segera semua lesen eksport”.

Kes itu turut disokong beberapa pertubuhan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International, Human Rights Watch dan Oxfam, yang mahu kerajaan UK menggantung segera semua eksport senjata ke Israel, termasuk komponen pesawat pejuang F-35.

Pada 2 Sept 2024, kerajaan British mengumumkan penggantungan 30 daripada 350 lesen eksport senjata ke Israel selepas satu semakan, dengan memberi amaran terdapat risiko jelas sesetengah eksport senjata UK ke Israel boleh digunakan untuk melakukan atau memudahkan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Lesen digantung itu membabitkan komponen pesawat tentera, helikopter, dron dan kelengkapan membantu penyasaran serangan di darat, tidak termasuk komponen UK bagi program jet pejuang F-35.

Tetapi, ramai pihak termasuk kumpulan hak asasi dan ahli politik mengkritik langkah itu tidak mencukupi memandangkan keseluruhan 350 lesen penggunaan ketenteraan dan dwiguna yang diberikan kepada Israel.

Hujahan kes itu turut menyatakan UK mampu dan wajib menjejaki serta menghentikan penghantaran komponen F-35 buatan British ke Israel, dengan kerajaan mesti memastikan undang-undang domestik dipatuhi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.