
Gabenor Canakkale, Omer Toraman, memberitahu media bahawa lori itu terbalik dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar masing-masing sebuah bas penumpang dan kereta, lapor Xinhua.
Toraman memaklumkan pemandu lori dan tujuh penumpang bas maut dalam kejadian itu, manakala 20 mangsa cedera dengan beberapa daripadanya dalam keadaan kritikal dibawa ke hospital berhampiran.
Punca kemalangan belum dikenal pasti.
Menteri Kehakiman Turki, Yilmaz Tunc, berkata siasatan kehakiman sudah dimulakan dengan dua pendakwa raya ditugaskan untuk menyiasat kes itu.
Dalam kemalangan berasingan, seorang maut dan 22 cedera dalam nahas dua bas di Istanbul pada Sabtu yang menimbulkan gangguan besar kepada perkhidmatan pengangkutan awam.
Pejabat Gabenor Istanbul dalam kenyataan berkata, nahas berlaku di daerah Beylikduzu, bahagian Eropah bandar itu kira-kira 4 petang waktu tempatan.
Sebuah “metrobus” melanggar bahagian belakang sebuah lagi “metrobus” di hentian Haramidere.
Tiga mangsa cedera dalam keadaan kritikal dan kemalangan itu menyebabkan gangguan kepada trafik “metrobus” serta penutupan sementara stesen berkenaan.
“Metrobus” komponen penting rangkaian pengangkutan awam Istanbul, yang digunakan kira-kira sejuta penumpang setiap hari dan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya itu.