India-Pakistan setuju gencatan senjata

India-Pakistan setuju gencatan senjata

Gencatan senjata sepenuhnya berkuat kuasa serta merta hasil perantaraan diketuai AS.

india pakistan
India dan Pakistan berbalas serangan sejak beberapa minggu yang hampir cetus peperangan skala penuh. (Gambar EPA Images)
NEW DELHI:
India dan Pakistan bersetuju melaksanakan gencatan senjata selepas tentera kedua-dua pihak saling berbalas serangan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendedahkan kedua-dua negara bersetuju melaksanakan ‘gencatan senjata sepenuhnya serta-merta’ hasil usaha perantaraan diketuai AS bagi menamatkan ketegangan.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio, berkata beliau dan Naib Presiden JD Vance telah berhubung dengan pegawai kanan India dan Pakistan, termasuk Perdana Menteri Narendra Modi dan Shehbaz Sharif, Ketua Tentera Pakistan Syed Asim Munir, serta penasihat keselamatan negara Ajit Kumar Doval dan Muhammad Asim Malik.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Kerajaan India dan Pakistan telah bersetuju untuk menghentikan serangan serta-merta dan memulakan rundingan mengenai pelbagai isu di lokasi berkecuali,” kata Rubio.

“Kami menghargai kebijaksanaan, ketelitian, dan kepimpinan Perdana Menteri Modi dan Sharif dalam memilih jalan damai,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar dan Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar turut mengesahkan menerusi hantaran di platform X bahawa satu gencatan senjata telah dicapai.

“Pakistan sentiasa berusaha mewujudkan keamanan dan keselamatan serantau tanpa menjejaskan kedaulatan dan integriti wilayahnya,” kata Dar.

“India dan Pakistan hari ini mencapai persefahaman untuk menghentikan serangan dan tindakan ketenteraan,” kata Jaishankar.

Perkembangan ini berlaku selepas ketegangan dan konfrontasi selama beberapa minggu yang hampir mencetuskan peperangan berskala penuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.