Ratusan lari ke Thailand selepas tentera Myanmar diserang

Ratusan lari ke Thailand selepas tentera Myanmar diserang

Serangan kumpulan bersenjata etnik semalam menyasarkan sebuah pangkalan tentera di negeri Kayin.

myanmar
Myanmar berdepan konflik sivil sejak rampasan kuasa tentera pada 2021. (Gambar Tentera Arakan/AP)
BANGKOK:
Lebih 300 penduduk Myanmar melarikan diri ke Thailand susulan serangan kumpulan bersenjata etnik ke atas tentera, beberapa hari selepas junta melanjutkan gencatan senjata bagi menangani kesan gempa kuat lebih sebulan lalu.

Myanmar berdepan konflik sivil sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, dengan junta memerangi gabungan pertubuhan bersenjata etnik dan pasukan penentang prodemokrasi.

Semalam, serangan Tentera Pembebasan Nasional Karen (KNLA) dan sekutunya, Pertubuhan Pertahanan Nasional Karen (KNDO) menyasarkan sebuah pangkalan tentera di negeri Kayin, kira-kira 2.5km dari sempadan Thailand, menurut tentera Thailand.

“Serangan itu membabitkan pengepungan jarak dekat pangkalan berkenaan dan dron bersenjata menggugurkan bahan letupan sepanjang hari,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga hari ini, 327 warga Myanmar melarikan diri ke Thailand dan berlindung di dua lokasi sementara, termasuk sebuah kuil, dengan tentera dan polis Thai menyediakan bantuan kemanusiaan serta kawalan keselamatan.

Pasukan keselamatan Thai meningkatkan rondaan di sepanjang sempadan di wilayah Tak yang disifatkan pegawai sebagai potensi “pelanggaran kedaulatan oleh angkatan bersenjata asing”.

Kerajaan tentera Myanmar dan pelbagai kumpulan bersenjata yang menentangnya mengumumkan gencatan senjata selepas gempa bumi 28 Mac lalu bagi menyokong usaha pemulihan dan bantuan bencana.

Gencatan senjata itu dilanggar berulang kali oleh serangan udara junta dan kumpulan bersenjata.

Gempa kuat bermagnitud 7.7 dekat pusat bandar Mandalay meragut hampir 3,800 nyawa dan puluhan ribu lagi kehilangan tempat tinggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.