Ford jangka kerugian USD1.5 bilion akibat tarif AS

Ford jangka kerugian USD1.5 bilion akibat tarif AS

Pengeluar kenderaan AS itu mengambil keputusan menarik balik unjuran kewangan bagi tahun penuh.

Ford mengeluarkan laporan kewangan suku pertamanya yang mencatatkan penurunan hasil sebanyak 5% kepada USD40.7 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu. (Gambar AP)
SAN JOSE:
Pengeluar kenderaan Amerika Syarikat (AS), Ford pada Isnin menjangkakan kerugian sebanyak USD1.5 bilion dalam keuntungan operasi tahun ini susulan pelaksanaan tarif oleh Presidennya, Donald Trump ke atas kenderaan dan alat ganti import, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ford berkata, tarif import 25% yang dikenakan secara meluas mempunyai pengecualian dalam perjanjian perdagangan AS dengan Mexico dan Kanada serta tempoh kelonggaran bagi syarikat dengan pengeluaran domestik, mencetuskan ketidaktentuan pasaran.

Akibatnya, Ford mengambil keputusan menarik balik unjuran kewangan bagi tahun penuh.

Pada masa sama, Ford turut mengeluarkan laporan kewangan suku pertamanya yang mencatatkan penurunan hasil sebanyak 5% kepada USD40.7 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan bersih Ford juga menjunam kepada USD471 juta daripada USD1.3 bilion sebelumnya, sebahagian besarnya dipengaruhi kemerosotan ketara dalam keuntungan operasi segmen enjin pembakaran dalaman.

Segmen itu hanya mencatatkan keuntungan operasi sebanyak USD96 juta berbanding USD901 juta pada tempoh sama tahun lalu, akibat penyusutan jualan dan kesan negatif tukaran mata wang asing.

Keuntungan operasi daripada bahagian kenderaan komersial turut merosot 56% kepada USD1.3 bilion, sebahagiannya disebabkan pemberhentian pengeluaran dirancang.

Kerugian operasi dalam perniagaan kenderaan elektrik Ford pula mengecil kepada USD849 juta daripada lebih USD1.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.