Sepanyol tingkat biaya siasat jenayah perang Gaza

Sepanyol tingkat biaya siasat jenayah perang Gaza

Kerajaan Sepanyol sokong agensi PBB siasat pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah perang mungkin berlaku.

Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares tuduh Israel penyebab kebuluran dan tidak sama sekali terima sekatan bantuan ke Gaza. (Gambar AP)
GENEVA:
Sepanyol akan menyumbang €500,000 (lebih USD560,000) sebagai tambahan menyokong siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap pelanggaran hak asasi manusia dan kemungkinan jenayah perang dilakukan di Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik pengumuman Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares.

“Dengan hasrat untuk menamatkan pelanggaran undang-undang antarabangsa ini dan memastikan kebertanggungjawapan, saya mengumumkan yang kami akan usaha menyokong Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia dalam mempertingkat siasatan terhadap pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah perang yang mungkin berlaku di Gaza,” kata Albares kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Sepanyol.

Beliau menyifatkan krisis kemanusiaan berterusan di Gaza akibat sekatan bantuan oleh Israel sebagai ‘sama sekali tidak dapat diterima’, dan menuduh Tel Aviv bertanggungjawab menyebabkan ‘kebuluran yang tidak pernah berlaku sebelum ini’.

“Kemasukan makanan dengan segera amat penting untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin yang tidak bersalah,” katanya. “Penduduk awam Gaza berhak dihormati dan hidup dengan aman dan Sepanyol menuntut perkara itu serta akan terus memperjuangkannya.”

Minggu lalu, Sepanyol turut menyertai prosiding lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tanggungjawab Israel sebagai kuasa pendudukan di wilayah Palestin yang diduduki.

Dalam prosiding itu, Sepanyol sekali lagi menegaskan tanggungjawab Tel Aviv mematuhi undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan, termasuk memastikan keperluan asas penduduk dipenuhi dan bekerjasama dengan PBB.

Sejak 2 Mac, Israel menutup semua pintu masuk ke Gaza, menghalang kemasukan bekalan penting ke wilayah yang diserang itu, meskipun terdapat pelbagai laporan mengenai kebuluran.

Minggu lalu, Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza Ismail Thawabteh, memberitahu AA yang wilayah itu memasuki ‘tahap kebuluran yang kritikal’ berikutan penutupan pintu masuk dan serangan ketenteraan terbaharu Israel.

Lebih 52,500 penduduk Palestin terbunuh di Gaza sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.