
Angkatan bersenjata Pakistan dan India berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan serangan pengganas mengorbankan 26 di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, pada 22 April.
India menuduh jirannya terlibat kejadian itu, namun dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya Pakistan.
“Ketegangan yang meningkat antara India dan Pakistan amat membimbangkan. Saya menggesa kedua-dua pihak agar menahan diri dan mengutamakan dialog bagi meredakan keadaan.
“Peningkatan ketegangan tidak menguntungkan sesiapa,” kata ketua dasar luar EU itu dalam catatan di X.
Kallas berkata, beliau telah bercakap dengan Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar untuk menyampaikan mesej berkenaan.
Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam kenyataan pada Jumaat turut menyuarakan ‘kebimbangan mendalam terhadap keadaan keselamatan yang semakin merosot di rantau Asia Selatan’ dan menyeru agar kedua-dua pihak menahan diri serta ‘segera menyambung semula dialog’.
Beberapa pihak berkepentingan utama, termasuk Arab Saudi, Qatar, Amerika Syarikat, Rusia, dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres turut menggesa India dan Pakistan, dua negara yang memiliki senjata nuklear itu menahan diri dan mengelakkan konflik.