
Pada pendengaran Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam, Timbalan Menteri Luar Turki Nuh Yılmaz turut mendakwa Israel menggunakan kelaparan sebagai senjata apabila menutup lintasan masuk ke Gaza dan menghalang kemasukan bekalan penting sejak 2 Mac.
Beliau menyifatkan bahawa perang berskala besar sedang dilancarkan ketika ini terhadap orang awam di Gaza selain keganasan turut merebak ke Tebing Barat dan negara jiran.
“Apabila tiada undang-undang dikuatkuasakan untuk menghalang Israel, maka akan wujud kekacauan, anarki dan pembunuhan besar-besaran yang menyamai genosid di Gaza,” katanya, lapor Bernama.
Turki hadir di mahkamah itu bagi membangkitkan ‘pelanggaran berterusan Israel terhadap kewajipan antarabangsa’ selain mengecam tindakan serangan terhadap
Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).
Yılmaz turut memetik insiden pembunuhan sukarelawan kemanusiaan Turki-Amerika, Aysenur Ezgi Eygi, ketika menyertai tunjuk perasaan aman di Tebing Barat, sambil memberi amaran bahawa situasi kekal berbahaya bagi petugas bantuan di lapangan.
“Turki dengan hormat meminta ICJ mengeluarkan pendapat nasihat yang menegaskan semula kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa, sekali gus membuka jalan ke arah keadilan, keamanan dan keselamatan untuk rakyat Palestin dan Israel,” katanya.
Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, sekali gus menamatkan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan dengan Hamas yang dimeterai pada 19 Jan.
Sejak konflik bermula pada Oktober 2023, hampir 52,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh di Gaza.