
“Undang-undang antarabangsa melarang Israel menggunakan kebuluran sebagai kaedah peperangan. Sekalipun di bawah kepungan atau sekatan, Israel tidak boleh menghukum rakyat Palestin yang dilindungi di bawah pendudukan haramnya secara kolektif,” kata wakil Afrika Selatan, Jaymion Hendricks pada hari kedua pendengaran awam di The Hague.
Hendricks berkata, Israel “menggunakan sepenuhnya teknik kebuluran, mengawal tahap penderitaan dan kematian akibat sistem makanan hingga ke tahap genosid. Walaupun terdapat cubaan mengerikan oleh pegawai Israel untuk menggambarkan sebaliknya, rakyat Palestin adalah manusia.”
Tegasnya Israel “perlu bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secara ikhlas dan memberikan segala bantuan diperlukan”, selain memenuhi tanggungjawabnya sebagai kuasa pendudukan untuk memastikan bekalan makanan dan perubatan, serta memudahkan bantuan kemanusiaan, perkhidmatan asas dan pembangunan disalurkan PBB, negara ketiga serta organisasi antarabangsa lain.
Hendricks turut menegaskan Israel mesti “menghentikan permusuhan sepenuhnya” dan “segera menarik balik keputusan mengusir Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) serta agensi PBB lain daripada melaksanakan mandat mereka.”
Beliau turut menyeru PBB “menuntut dan berunding untuk menghapuskan halangan dikenakan Israel” serta “terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin” di sebalik sekatan Israel.
Katanya, negara ketiga “mempunyai kewajipan tidak mengiktiraf tindakan salah Israel di peringkat antarabangsa, termasuk pengharaman terhadap UNRWA…dan perlu bekerjasama menamatkan tindakan itu”, selain menghentikan penyaluran senjata kepada Israel.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan, Zane Dangor memberitahu mahkamah: “Sistem bantuan kemanusiaan kini di ambang kehancuran. Kehancuran ini disengajakan.”
Wakil Afrika Selatan, Nokukhanya Jele pula menegaskan “Israel tidak boleh mengenakan sebarang tindakan dilarang secara khusus oleh undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk pemindahan paksa besar-besaran, kemusnahan harta benda, penempatan penjajah, menyasarkan sekolah dan kurikulum pendidikan untuk menghapuskan sejarah rakyat Palestin”.
Tentera Israel menyerang semula Gaza pada 18 Mac lalu, sekali gus menamatkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dicapai pada 19 Jan lalu.
Lebih 52,300 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan ganas Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023.