Angelina Jolie terus sokong Gaza

Angelina Jolie terus sokong Gaza

Pelakon Hollywood berkongsi hantaran Gaza 'kubur besar bagi rakyat Palestin'.

Angelina Jolie berkongsi kenyataan UNHCR yang menyatakan ‘nyawa rakyat Palestin diragut secara sistematik’. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL:
Pelakon Hollywood Angelina Jolie sekali lagi menyatakan sokongan terhadap Gaza dengan berkongsi laporan organisasi kemanusiaan Doctors Without Borders mengenai krisis kemanusiaan di wilayah itu menerusi hantaran di Instagram.

Dalam hantaran itu, Jolie yang pernah berkhidmat lebih dua dekad sebagai duta khas untuk Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) – menampilkan kenyataan organisasi berkenaan menyifatkan keadaan Gaza sebagai ‘kubur besar bagi rakyat Palestin dan bagi mereka yang membantu’, lapor Anadolu Ajansi.

“Ketika tentera Israel meneruskan dan memperluas serangan melalui udara, darat, dan laut ke atas Semenanjung Gaza, memaksa penduduk berpindah serta menyekat bantuan penting secara sengaja, nyawa rakyat Palestin sekali lagi diragut secara sistematik,” menurut kenyataan itu.

Hantaran berkenaan turut menyatakan bahawa serangan maut Israel menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan petugas bantuan kemanusiaan dan kesihatan di Gaza.

Ia menggesa pihak berkuasa Israel agar segera menamatkan kepungan yang tidak berperikemanusiaan dan membawa maut ke atas wilayah itu, serta melindungi nyawa rakyat Palestin termasuk petugas kemanusiaan dan kesihatan.

Kenyataan itu turut menyuarakan harapan agar gencatan senjata dapat diwujudkan semula.

Sejak serangan dilancarkan pada Oktober 2023, lebih 51,000 penduduk Palestin terbunuh di Gaza dalam serangan ganas oleh Israel, majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.