Tarif AS ancam eksport bukan minyak negara Arab

Tarif AS ancam eksport bukan minyak negara Arab

Jordan, Bahrain, dan UAE antara terkesan.

Jordan dikenal pasti negara paling terdedah dengan hampir satu perempat jumlah eksportnya tertumpu pasaran AS. (Gambar Wikipedia)
BEIRUT:
Lonjakan mendadak dasar perlindungan perdagangan Amerika Syarikat (AS) memberi tekanan besar kepada ekonomi Arab dan mengancam eksport bukan minyak bernilai USD22 bilion, menurut taklimat dasar dikeluarkan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia Barat (ESCWA), lapor Xinhua.

Jordan dikenal pasti negara paling terdedah, dengan hampir satu perempat daripada jumlah eksportnya tertumpu ke pasaran AS.

Bahrain turut mendapat perhatian kerana pergantungan tinggi terhadap eksport aluminium dan bahan kimia ke Amerika.

Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka terkesan dengan gangguan ke atas kira-kira USD10 bilion barangan eksport semula ke AS, berpunca daripada tarif dikenakan ke atas barangan yang asalnya dihasilkan di negara ketiga, menurut ESCWA.

ESCWA turut memberi amaran bahawa tekanan kewangan kian meningkat dalam kalangan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), yang kini berdepan kejatuhan ketara harga minyak global.

Negara bukan anggota GCC juga dijangka berdepan cabaran kewangan.

ESCWA menganggarkan bahawa Mesir, Maghribi, Jordan, dan Tunisia akan menanggung tambahan pembayaran faedah sebanyak USD114 juta pada 2025, susulan peningkatan hasil bon global akibat ketidaktentuan pelabur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.