Dakwa ‘tarif tak sah’, California saman pentadbiran Trump

Dakwa ‘tarif tak sah’, California saman pentadbiran Trump

Gabenor California Gavin Newsom berkata tarif itu menimbulkan huru-hara kepada keluarga, perniagaan dan ekonomi.

California yang juga negeri paling ramai penduduk di Amerika Syarikat, merupakan negeri pertama memfailkan saman terhadap pentadbiran Donald Trump berhubung isu tarif. (Gambar EPA-EFE/ALLISON DINNER)
LOS ANGELES:
Gabenor California Gavin Newsom pada Rabu mengumumkan bahawa negeri barat Amerika Syarikat (AS) itu, yang mempunyai ekonomi terbesar di Amerika Syarikat (AS) telah memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump berhubung pelaksanaan ‘tarif menyalahi undang-undang’ presiden ke atas rakan dagang antarabangsa, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan, Newsom berkata tarif yang menyalahi undang-undang Presiden Trump menimbulkan huru-hara kepada keluarga, perniagaan dan ekonomi California – menyebabkan kenaikan harga dan mengancam pekerjaan.

“Kami membela keluarga Amerika yang tidak mampu untuk membiarkan huru-hara ini berterusan.

“Donald Trump tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif yang merosakkan dan huru-hara ini. Amerika berisiko mengalami kerugian yang terlalu besar, Kami akan bawa perkara ini ke mahkamah,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Gabenor itu berkata California merupakan negeri pembuatan terbesar di AS dan antara rakan dagang utama di peringkat global. Tiada negeri lain di Amerika yang akan terkesan seteruk California akibat tindakan pentadbiran Trump yang secara sepihak melaksanakan kenaikan tarif import terbesar dalam sejarah moden negara itu.

Newsom turut memaklumkan bahawa 40% pergerakan barangan di Amerika Syarikat melalui dua pelabuhan utama di California dan kira-kira 50% daripadanya berasal dari China.

Dalam tuntutan mahkamah yang dijangka difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Utara California, pegawai California akan berhujah bahawa undang-undang dikenali sebagai Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa, yang dirujuk Trump untuk mengenakan tarif itu, tidak memberi beliau kuasa untuk melaksanakannya secara unilateral.

California, yang juga negeri paling ramai penduduk di AS, merupakan negeri pertama memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump berhubung isu tarif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.