China akan abai ‘permainan tarif’ AS

China akan abai ‘permainan tarif’ AS

Rumah Putih menggariskan levi sehingga 245% yang akan dikenakan ke atas China pada Selasa.

Donald Trump
Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif tambahan ke atas semua negara dua minggu lalu. (Gambar AP)
BEIJING:
China akan mengabaikan “permainan tarif” Amerika Syarikat (AS), kata Kementerian Luarnya selepas Rumah Putih menggariskan tarif sehingga 245% yang akan dihadapi Beijing akibat tindakan balasnya.

Berdasarkan lembaran fakta dikeluarkan Selasa lalu, Rumah Putih berkata, keseluruhan duti dikenakan ke atas China termasuk tarif timbal balas terkini sebanyak 125%, tarif 20% untuk mengatasi krisis fentanyl serta tarif 7.5% dan 100% ke atas barangan tertentu bagi menangani amalan perdagangan tidak adil.

Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif tambahan ke atas semua negara dua minggu, sebelum menarik balik “tarif timbal balas” lebih tinggi terhadap berpuluh-puluh negara secara tiba-tiba, tetapi mengekalkan duti bersifat hukuman ke atas China.

Beijing menaikkan levi ke atas barangan AS sebagai tindak balas dan tidak memohon rundingan, yang menurutnya hanya boleh dilakukan atas dasar saling menghormati dan kesaksamaan.

Sementara itu, banyak negara mula mengkaji perjanjian dua hala dengan Washington.

Minggu lalu, China memfailkan saman terhadap AS menerusi mekanisme penyelesaian pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan menyifatkan tarif dikenakan Washington sebagai tindakan buli dan paksaan secara unilateral yang jelas melanggar peraturan WTO.

Minggu ini, China melantik perunding perdagangan baharu yang akan menjadi kunci dalam sebarang rundingan untuk menyelesaikan perang tarif semakin memuncak, Li Chenggang menggantikan Wang Shouwen, utusannya ke WTO.

Washington berkata, Trump terbuka membuat perjanjian perdagangan dengan China, tetapi Beijing perlu memulakan langkah pertama kerana ia memerlukan “wang kita”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.