
Menurut Polis Hertfordshire, kerosakan akibat jenayah itu yang dikesan sebuah keluarga ketika melawat kawasan perkuburan itu mengejutkan komuniti Islam tempatan.
Rondaan turut dipertingkatkan di kawasan itu dan pihak polis memohon saksi atau individu mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
Inspektor Will Rogers-Overy mengesahkan pegawai kanan polis sedang bekerjasama dengan pemimpin komuniti untuk menyokong keluarga terjejas.
“Dalam beberapa hari akan datang, kami akan terus berhubung dengan komuniti Islam yang pastinya amat terkesan dengan jenayah mengerikan ini.”
Wadi Funeralcare yang menyediakan perkhidmatan kepada ramai keluarga Islam di rantau itu, menyifatkan tindakan menceroboh dan merosakkan kubur “menyayat hati” serta “perbuatan tidak berperikemanusiaan yang tidak dapat diterima”.
Walaupun terletak di Watford, Tanah Perkuburan Carpenders Park Lawn dimiliki dan diuruskan Majlis Perbandaran Brent.
Ketua majlis, Muhammed Butt, mengecam insiden itu mungkin bermotifkan kebencian terhadap Islam.
“Nampaknya kubur Islam menjadi sasaran dalam jenayah kebencian berunsur Islamofobia.
“Simpati kami kepada keluarga yang kubur mereka diceroboh. Kami akan menggantikan plak nama rosak dan memulihkan kawasan tanah perkuburan ini sebagai tempat penuh ketenangan serta kenangan sebaik sahaja siasatan polis selesai.”
Abbas Merali, ahli Majlis Daerah Three Rivers mewakili Parti Konservatif, menyifatkan perbuatan vandalisme itu “tindakan kejam” yang menyebabkan “kesedihan mendalam kepada keluarga sedang berkabung serta luka dalam kalangan masyarakat”.