Lebih 114 maut, 2 kem pelarian di Sudan diserang

Lebih 114 maut, 2 kem pelarian di Sudan diserang

Pengarah Kesihatan Darfur Utara Ibrahim Khatir berkata sembilan kakitangan Relief International, NGO mengendalikan hospital lapangan di kem pelarian Zamzam turut terbunuh.

Lebih 100 orang awam terbunuh di kem pelarian Zamzam, manakala 14 lagi di kem pelarian Abu Shouk. (Gambar Reuters)
KHARTOUM:
Lebih 114 orang awam dilaporkan terkorban dalam tempoh dua hari serangan Pasukan Rapid Support Forces (RSF) ke atas dua kem pelarian di El Fasher, ibu negeri wilayah Darfur Utara di barat Sudan, menurut kenyataan pegawai tempatan pada Sabtu.

“Lebih 100 orang awam terbunuh akibat serangan kejam RSF ke atas kem pelarian Zamzam semalam (Jumaat), dengan puluhan lagi cedera.

“Hari ini (Sabtu), serangan lain turut dilancarkan ke atas kem pelarian Abu Shouk, mengorbankan 14 orang awam dan mencederakan ramai lagi,” kata Pengarah Kesihatan Darfur Utara, Ibrahim Khatir kepada Xinhua.

Khatir turut mendedahkan antara mangsa korban di kem Zamzam ialah sembilan kakitangan Relief International, pertubuhan bukan kerajaan yang mengendalikan hospital lapangan di kem berkenaan.

Sementara itu, “Emergency Room” yang juga organisasi sukarelawan melaporkan 40 orang awam maut dan ratusan lagi cedera pada Sabtu susulan serangan RSF ke atas kem Abu Shouk.

Setakat ini, RSF belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung serangan itu.

Sejak 10 Mei 2024, pertempuran sengit tercetus di El Fasher antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan RSF.

Krisis bersenjata SAF dan RSF meletus sejak pertengahan April 2023 mengorbankan lebih 29,600 nyawa, menurut data “Armed Conflict Location and Event Data”, sebuah kumpulan pemantau krisis yang dipetik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.