
“Petugas IMF dan pihak berkuasa Argentina telah mencapai persefahaman peringkat petugas mengenai program ekonomi menyeluruh yang boleh disokong menerusi kemudahan pengaturan lanjutan (EFF) selama 48 bulan berjumlah USD20 bilion (SDR 15.267 bilion atau 479% daripada kuota),” menurut IMF dalam kenyataan ringkas.
Bagaimanapun, persetujuan itu masih tertakluk kepada kelulusan Lembaga Eksekutif IMF yang dijangka menelitinya “dalam tempoh beberapa hari akan datang,” menurut kenyataan itu.
Menurut IMF, persetujuan itu dibina atas kejayaan awal pihak berkuasa Argentina dalam menstabilkan ekonomi, disokong asas fiskal kukuh, sekali gus membawa kepada penurunan kadar inflasi secara cepat serta pemulihan dalam aktiviti dan penunjuk sosial.
“Program ini menyokong fasa seterusnya agenda penstabilan dan pembaharuan domestik Argentina bagi memperkukuh kestabilan makroekonomi, meningkatkan kemampanan luaran dan membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dan mampan, di samping menguruskan cabaran persekitaran global semasa,” kata IMF.
Argentina merupakan penghutang terbesar IMF dan ketika ini berhutang lebih USD44 bilion kepada institusi kewangan itu. Pinjaman baharu itu dijangka digunakan untuk membayar faedah kepada IMF dan meningkatkan rizab mata wang bank pusat.
Presiden libertarian berhaluan kanan Argentina, Javier Milei, yang memegang jawatan pada Disember 2023, telah melaksanakan pelbagai pembaharuan radikal. Ribuan penjawat awam diberhentikan dan program sosial dikurangkan secara drastik.
Meskipun langkah penjimatan itu berjaya menurunkan kadar inflasi dengan ketara, ia turut menjejaskan ekonomi negara dan mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara. Di negara yang dahulunya makmur ini, kini lebih 50% penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan.