Semua peraturan perang dilanggar di Gaza, kata UNRWA

Semua peraturan perang dilanggar di Gaza, kata UNRWA

Ketua Pesuruhjaya UNRWA di Asia Barat Philippe Lazzarini menggesa siasatan bebas bagi mengenal pasti keadaan di sebalik setiap serangan dan pelanggaran serius.

Jabalia, utara Gaza musnah
Sebuah klinik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di kem pelarian Jabalia, utara Gaza musnah dalam serangan udara Israel pada Rabu. (Gambar EPA Images)
GAZA:
Serangan udara tentera Israel terkena bangunan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Asia Barat yang terletak di Jabalia, utara Gaza pada Khamis, lapor Agensi Berita Emirates memetik Ketua Pesuruhjayanya, Philippe Lazzarini.

“Bangunan itu merupakan pusat kesihatan yang mengalami kerosakan teruk pada awal konflik. Laporan awal menunjukkan lebih 700 orang berlindung di kemudahan itu ketika ia diserang.

“Antara yang terbunuh ialah sembilan kanak-kanak, termasuk seorang bayi berusia dua minggu,” katanya dalam hantaran X rasminya.

“Keluarga yang kehilangan tempat tinggal terus berada di pusat perlindungan itu selepas serangan kerana mereka tiada tempat lain untuk dituju.

“Sejak konflik bermula, lebih 300 bangunan PBB rosak atau musnah sepenuhnya, walaupun koordinatnya sentiasa dikongsi dengan pihak bertelagah. Lebih 700 orang terbunuh ketika mencari perlindungan di bawah PBB.

“Terlalu banyak premis UNRWA turut dilaporkan digunakan bagi tujuan ketenteraan dan pertempuran oleh kumpulan Palestin atau tentera Israel. Sikap tidak menghiraukan kakitangan, premis dan operasi PBB langsung adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.”

Beliau sekali lagi menyeru siasatan bebas dijalankan bagi mengenal pasti keadaan di sebalik setiap serangan dan pelanggaran serius.

“Di Gaza, semua peraturan perang dilanggar berulang kali.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.