Ketua perdagangan EU kecam tarif 20% Trump

Ketua perdagangan EU kecam tarif 20% Trump

Bernd Lange menyifatkan tarif baharu itu tidak wajar, menyalahi undang-undang dan tidak seimbang yang akan menyebabkan ekonomi AS dan dunia merosot secara keseluruhan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa Parlimen Eropah Bernd Lange menggesa semua negara terjejas bersatu menghantar mesej jelas kepada AS untuk menghentikan tarif baharu itu. (Gambar Reuters)
GENEVA:
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa Parlimen Eropah mengkritik sekeras-kerasnya pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai tarif baharu 20% ke atas barangan dari Kesatuan Eropah (EU) sebagai sebahagian janjinya mengenakan tarif timbal balik kepada semua negara di dunia, lapor Anadolu Ajansi.

“Presiden Trump mungkin menyifatkan hari ini sebagai ‘Liberation Day’, tetapi dari sudut pandangan rakyat biasa, ini adalah ‘Inflation Day’,” kata Bernd Lange dalam kenyataan.

“Langkah tidak wajar, menyalahi undang-undang dan tidak seimbang ini hanya akan membawa kepada kenaikan tarif selanjutnya serta kemerosotan ekonomi bagi AS dan dunia secara keseluruhan.”

Lange memberi amaran tarif baharu itu akhirnya akan merugikan pengguna AS dengan meningkatkan kos dan mengurangkan kecekapan dalam sektor pembuatan.

Beliau turut menekankan kesan negatif ke atas pasaran global dan keyakinan pelabur, merujuk ketidaktentuan dalam pasaran saham susulan pengumuman itu.

Menurutnya, blok itu akan bertindak balas dengan “langkah sah di sisi undang-undang, bersekadar dan tegas” serta berikrar melindungi proses membuat keputusan secara demokratik dan kedaulatan ekonomi EU.

“Kami tidak akan berundur. Negara-negara yang menjadi sasaran langkah ini mesti bertindak balas secara bersatu dan menghantar mesej jelas kepada AS untuk menghentikan kegilaan tarif ini.”

Walaupun dengan nada agak keras, Lange masih membuka ruang untuk dialog dengan menyuarakan harapan bahawa pentadbiran AS akan kembali ke meja rundingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.