Gempa Myanmar ragut lebih 3,000 nyawa

Gempa Myanmar ragut lebih 3,000 nyawa

Jumlah kematian meningkat kepada 3,003 orang pada Rabu, dengan 4,515 lagi cedera dan 351 orang dilaporkan hilang.

Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat dari sebuah bangunan runtuh di Mandalay, selepas gempa kuat melanda Myanmar Jumaat lalu. (Gambar AP)
KARACHI:
Pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa terselamat selepas angka korban gempa kuat bermagnitud 7.7 di Myanmar Jumaat lalu melebihi 3,000 orang, dengan ratusan lagi masih hilang, menurut media rasmi pada Khamis.

Jumlah kematian meningkat kepada 3,003 pada Rabu, dengan 4,515 orang cedera dan 351 lagi dilaporkan hilang, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Kedutaan Myanmar di Jepun di Facebook.

Sekurang-kurangnya 15 orang terkorban, manakala 72 lagi masih hilang di negara jiran Thailand, selepas sebuah bangunan pencakar langit yang dalam pembinaan runtuh akibat gempa berpusat di wilayah Sagaing, Myanmar.

Gempa kuat bermagnitud 7.7 dan 6.4 melanda sebahagian besar wilayah tengah Myanmar yang dihuni 28 juta penduduk, meruntuhkan bangunan serta mengakibatkan komuniti terjejas tanpa bekalan makanan, air dan tempat perlindungan.

Pihak berkuasa cuaca meramalkan hujan luar musim bermula 11 April ini, yang boleh menjadi cabaran baharu kepada pasukan penyelamat dan pekerja bantuan dalam usaha membantu penduduk di negara dilanda perang saudara itu.

Setakat ini, 53 penerbangan bantuan mendarat di Myanmar, manakala lebih 1,900 anggota penyelamat dari 15 negara, termasuk Asia Tenggara serta China, India dan Rusia, telah tiba bagi membantu operasi menyelamat.

Tentera yang memerintah negara itu pada Rabu mengisytiharkan gencatan senjata selama tiga minggu terhadap kumpulan penentang bagi memberi laluan kepada operasi menyelamat.

Menurut kenyataan tentera, gencatan senjata yang akan berkuat kuasa sehingga 22 April itu bertujuan memudahkan usaha bantuan disalurkan selepas bencana.

Langkah itu menyusul pakatan pemberontak utama mengisytiharkan gencatan senjata pada Selasa bagi membantu usaha kemanusiaan.

Myanmar mengalami 66 gegaran susulan bermagnitud 2.8 hingga 7.5 sejak Jumaat lalu, menurut Jabatan Meteorologi dan Hidrologi negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.