
Ketua Persatuan Kedai Roti Gaza, Abd al-Nasser al-Ajrami, berkata penutupan itu membabitkan semua kedai roti yang menyertai Program Makanan Sedunia (WFP).
Beliau menyifatkan keadaan semasa sebagai “perang kelaparan” berterusan, dengan kedai roti di selatan Gaza menutup operasi sejak Isnin lalu, manakala di kawasan tengah dan utara dijangka mengambil langkah sama mulai Selasa.
Menurut al-Ajrami, penutupan ini berpunca daripada sekatan berterusan Israel terhadap kemasukan barang keperluan, yang bukan sahaja menyebabkan kekurangan tepung dan bahan api, tetapi juga ragi.
Beliau berkata, situasi ini semakin memburukkan keadaan penduduk Gaza yang sudah terjejas akibat serangan Israel dan kini turut berdepan kekurangan gas memasak.
Semenanjung Gaza lazimnya memerlukan 450 tan tepung sehari, dengan kedai roti menyediakan kira-kira 50% keperluan penduduk.
Wilayah itu mempunyai 140 kedai roti beroperasi, termasuk 70 yang berfungsi secara automatik.
Sebilangan besar kedai roti, khususnya di utara Gaza, musnah akibat serangan udara Israel, dengan kerugian dianggarkan mencecah jutaan dolar.