Penunggang motosikal ‘ditelan’ lubang benam ditemukan maut

Penunggang motosikal ‘ditelan’ lubang benam ditemukan maut

Mangsa, seorang lelaki dalam lingkungan 30an, ditemukan dalam keadaan jantung terhenti pada 11.22 pagi Selasa.

Seoul sinkhole AP 250325
Sebuah lubang benam berukuran 20m lebar dan 20m dalam muncul tiba-tiba pada Isnin di Gangdong Ward, timur Seoul, sekitar 6.29 petang waktu tempatan. (Gambar AP)
SEOUL:
Seorang penunggang motosikal yang terjatuh ke dalam lubang benam di Seoul ditemukan dalam keadaan jantung terhenti pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap.

Lubang benam berukuran 20m lebar dan 20m dalam itu muncul tiba-tiba pada Isnin di sebuah persimpangan berhampiran sebuah sekolah rendah di Gangdong Ward, timur Seoul sekitar 6.29 petang waktu tempatan.

Kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit terjatuh ke dalam lubang itu, sementara seorang lagi pemandu kenderaan cedera selepas melalui kawasan itu, tepat sebelum lubang terbentuk.

“Seorang lelaki dalam lingkungan 30an ditemukan dalam keadaan jantung terhenti pada 11.22 pagi,” kata seorang pegawai bomba di Gangdong Ward dalam satu taklimat kepada media.

Mangsa ditemukan kira-kira 50m dari lokasi kejadian.

Pihak berkuasa menemukan sebuah telefon bimbit yang dipercayai milik penunggang motosikal itu pada 1.37 pagi, sebelum motosikalnya dijumpai kira-kira dua jam kemudian, lebih kurang 30m dari lokasi lubang benam terbentuk.

Atas faktor keselamatan, empat sekolah di kawasan berhampiran, iaitu Sekolah Rendah Seoul Daemyeong, Sekolah Menengah dan Tinggi Hanyoung, serta Sekolah Tinggi Bahasa Asing Hanyoung, ditutup pada Selasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.