7 maut serangan udara Israel di Lubnan

7 maut serangan udara Israel di Lubnan

Seramai 40 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas Lubnan pada Sabtu.

Dakwaan penempatan Metula diserang roket dari Lubnan dijadikan alasan oleh Israel untuk melancarkan serangan balas ke atas beberapa kampung dan bandar di selatan Lubnan. (Gambar AFP)
ISTANBUL:
Sekurang-kurangnya tujuh terbunuh dan 40 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas Lubnan pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik sumber rasmi Lubnan.

Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan lima termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala 11 lagi cedera dalam serangan udara Israel di bandar Touline, daerah Marjayoun, selatan Lubnan.

Sementara itu, enam orang dilaporkan cedera akibat serangan sama di timur Lubnan, khususnya di bandar Housh al-Sayyid dan Saraain di wilayah Baalbek-Hermel.

Sebuah dron Israel dilaporkan menyerang kawasan parkir kejiranan al-Raml, Tyre pada Sabtu malam menyebabkan empat cedera, berdasarkan laporan awal kementerian.

Serangan lain di bandar Yahmor al-Shaqif, daerah Nabatieh menyebabkan seorang mangsa cedera, manakala serangan di Kfarkela menyebabkan dua lagi cedera.

Tindakan ketenteraan itu berlaku selepas Israel mendakwa penempatan Metula diserang roket dari Lubnan, yang kemudian dijadikan alasan untuk melancarkan serangan balas ke atas beberapa kampung dan bandar di selatan negara itu.

Serangan roket ke atas Metula insiden pertama seumpamanya sejak gencatan senjata Israel dan Lubnan berkuat kuasa hampir empat bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai November lalu bagi menamatkan konflik rentas sempadan antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang memuncak pada September, Lubnan melaporkan hampir 1,100 pelanggaran oleh Israel.

Serangan itu meragut sekurang-kurangnya 85 nyawa dan lebih 280 lagi cedera.

Di bawah perjanjian itu, Israel sepatutnya berundur dari selatan Lubnan menjelang 26 Jan lalu, namun tarikh akhir itu dilanjutkan ke 18 Feb selepas Israel enggan mematuhi perjanjian.

Sehingga kini, tentera Israel masih mengekalkan kehadiran mereka di lima pos kawalan sempadan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.