Dunia kecam Israel serang Gaza, cabul gencatan senjata

Dunia kecam Israel serang Gaza, cabul gencatan senjata

Pelbagai negara menggesa campur tangan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan keganasan yang disifatkan 'serangan terhadap kemanusiaan'.

Seorang mangsa cedera dibawa ke Hospital Al-Ahli selepas serangan udara semalaman Israel di Semenanjung Gaza pada Selasa. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Kecaman antarabangsa semakin memuncak susulan serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 404 rakyat Palestin dan mencederakan ratusan lagi, sekali gus mencabuli perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa 19 Jan lalu.

Anadolu Ajansi (AA) melaporkan imej dari Gaza menunjukkan kebanyakan mangsa adalah orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang rumah mereka dibom pada waktu malam.

Arab Saudi dan Qatar mengecam keras tindakan Israel, dengan Kementerian Luar Saudi menyifatkan serangan itu “pengeboman langsung di kawasan dihuni penduduk awam yang tidak berdaya, tanpa mengambil kira undang-undang kemanusiaan antarabangsa”.

Riyadh menggesa campur tangan masyarakat antarabangsa untuk segera menghentikan keganasan.

Kementerian Luar Qatar menyifatkan serangan itu “cabaran terang-terangan terhadap kehendak antarabangsa yang menyokong keamanan”, sambil memberi amaran tindakan berterusan Israel boleh mencetuskan ketidakstabilan serantau lebih besar.

Kementerian Luar Mesir menyeru campur tangan segera antarabangsa bagi mengelakkan ketegangan semakin meruncing dan semua pihak memberi laluan kepada perantara untuk mencapai gencatan senjata kekal.

“(Serangan) ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata dan peningkatan ketegangan berbahaya yang boleh membawa kesan buruk kepada kestabilan rantau ini,” menurut kenyataan kementerian itu.

Perdana Menteri Jordan, Jafar Hassan, menyifatkan ia “serangan terhadap kemanusiaan” dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak.

Kementerian Luarnya pula memberi amaran risiko peningkatan ketegangan di rantau itu dan menggesa Israel mematuhi perjanjian gencatan senjata ditaja Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS).

Jordan turut menuntut bekalan elektrik di Gaza dipulihkan dan semula pintu masuk dibuka bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

Iran pula mengecam sekeras-kerasnya serangan baharu itu dan menuding jari kepada AS atas tindakan Israel.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqae, menuduh Israel melakukan genosid sambil menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil langkah tegas terhadap Tel Aviv.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan serangan itu “tidak boleh diterima” dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Finland, Alexander Stubb.

Erdogan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas terhadap apa yang disifatkannya “dasar pembunuhan beramai-ramai” Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta menekankan keperluan memulihkan gencatan senjata dengan segera.

Di Eropah, Sepanyol mengecam serangan itu dengan Menteri Luarnya, Jose Manuel Albares menyifatkan situasi di Gaza sukar digambarkan.

“Saya tidak dapat mencari perkataan untuk menggambarkan keadaan di Gaza. Kita mesti berkabung dan menolak gelombang keganasan serta pengeboman baharu ini yang menyasarkan penduduk awam tanpa sebarang diskriminasi,” katanya kepada penyiar Sepanyol, Onda Cero.

Beliau turut mengkritik Israel kerana memutuskan bantuan kemanusiaan dan bekalan elektrik ke wilayah itu yang disifatkan tindakan melanggar undang-undang antarabangsa.

Ketua parti Podemos Sepanyol, Ione Belarra, menggesa sekatan senjata rasmi dikenakan terhadap Israel atas alasan serangan itu satu bentuk pembunuhan beramai-ramai.

China dan Rusia turut menggesa semua pihak bertenang serta memberi amaran akibat buruk jika permusuhan berterusan.

Beijing menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap situasi semakin meruncing, dengan jurucakap Kementerian Luarnya, Mao Ning, menggesa semua pihak mengelakkan bencana kemanusiaan lebih besar dan memastikan perjanjian gencatan senjata dipatuhi.

Rusia pula menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan semakin merosot, dengan memberi amaran terhadap kemungkinan “lingkaran peningkatan ketegangan” di Gaza.

“Kemarahan terbaharu dalam situasi ini serta kembalinya peningkatan ketegangan secara berterusan, sangat membimbangkan kami,” kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov kepada pemberita di Moscow.

Beliau turut menyatakan Moscow sedang memantau konflik itu dengan teliti dan berharap penyelesaian damai dapat dicapai.

Sejak Oktober 2023, kempen ketenteraan Israel di Gaza mengorbankan lebih 48,500 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 112,000 orang.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas menteri pertahanan, Yoav Gallant atas jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan pada November lalu.

Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang di wilayah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.