Islamofobia: PBB desak platform dalam talian bertindak

Islamofobia: PBB desak platform dalam talian bertindak

Setiausaha Agung Antonio Guterres berkata ucapan kebencian berlarutan ke tahap keganasan ke atas Muslim dan rumah ibadat.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata berlaku lonjakan kebencian terhadap umat Islam, profil perkauman serta dasar diskriminasi. (Gambar EPA-EFE/JOSE SENA GOULAO / POOL)
NEW YORK:
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi amaran peningkatan membimbangkan Islamofobia di peringkat global dan menggesa platform digital mengambil langkah membendung ucapan kebencian serta gangguan dalam talian, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Dalam mesej video sempena Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia, Guterres berkata dunia sedang menyaksikan lonjakan kebencian terhadap umat Islam, profil perkauman serta dasar diskriminasi mencabuli hak asasi manusia dan maruah, malah berlarutan sehingga ke tahap keganasan terhadap individu dan rumah ibadat.

Beliau menekankan keperluan mendesak bagi platform dalam talian untuk mengambil tindakan terhadap ucapan kebencian dan gangguan, selain menggesa semua pihak bersuara menentang sikap tidak bertoleransi, xenofobia, dan diskriminasi.

Pertubuhan hak asasi manusia dan PBB melaporkan peningkatan ketara Islamofobia, sikap berat sebelah terhadap orang Arab serta antisemitisme susulan pelancaran serangan ketenteraan besar-besaran Israel ke atas Gaza pada 7 Okt 2023.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, badan pemantau hak asasi manusia telah mengeluarkan laporan yang menyoroti rekod baharu jenayah kebencian serta retorik berunsur hasutan terhadap umat Islam di beberapa negara Eropah dan Asia.

Sementara itu, kerajaan di negara terbabit menegaskan komitmen mereka memerangi semua bentuk diskriminasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.