
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) memaklumkan bahawa sekatan bantuan selama 12 hari telah menghalang operasi bantuan.
“Ini bermakna, sebagai contoh, Program Makanan Sedunia (WFP) tidak dapat menghantar bekalan makanan ke Gaza kerana semua lintasan sempadan ditutup bagi penghantaran kemanusiaan dan komersial.
“WFP kini mempunyai 63,000 tan metrik makanan yang diperuntukkan untuk Gaza, sama ada dalam simpanan atau sedang dalam perjalanan di rantau ini,” menurut kenyataan OCHA.
WFP juga melaporkan bahawa mereka mempunyai bekalan mencukupi untuk menyokong operasi dan dapur komuniti selama sebulan, serta mampu menyediakan pek makanan segera untuk lebih 500,000 orang selama dua minggu.
Selain kekurangan makanan, kekurangan bahan api turut menghalang pergerakan kenderaan bantuan dan memperlahankan operasi pasukan penyelamat.
OCHA turut memberi amaran bahawa bekalan oksigen dan penjana elektrik sangat diperlukan bagi memastikan operasi menyelamat di hospital-hospital di Gaza dapat diteruskan.
Sekurang-kurangnya dua dozen penjana tambahan diperlukan untuk pusat kesihatan, manakala peralatan sedia ada memerlukan penyelenggaraan dan alat ganti.
Sementara itu, di Tebing Barat OCHA memberi amaran bahawa keganasan oleh pendatang Israel semakin meningkat, mengakibatkan kecederaan, kerosakan harta benda dan meningkatkan risiko penduduk Palestin hilang tempat tinggal.
Dalam tempoh dua tahun terakhir, lebih 2,000 penduduk Palestin dipaksa meninggalkan kediaman mereka di Tebing Barat akibat keganasan pendatang dan sekatan akses.
Di bahagian utara Tebing Barat, operasi tentera Israel kini memasuki minggu kelapan, dengan lebih ramai penduduk dipaksa berpindah.
Sejak Isnin lalu, operasi ketenteraan di bandar Jenin semakin meningkat, menyebabkan lebih 500 penduduk terpaksa meninggalkan tiga kejiranan di bahagian timur bandar itu, menurut pihak berkuasa tempatan.
“Kebuluran semakin membimbangkan apabila operasi tentera Israel, pemindahan penduduk dan sekatan pergerakan terus menghalang akses kepada makanan,” kata OCHA.
Selain itu, OCHA turut melaporkan peningkatan mendadak pemusnahan struktur milik rakyat Palestin di Tebing Barat sejak 10 hari pertama Ramadan.
Jumlah bangunan yang dirobohkan sepanjang Ramadan tahun ini sudah melebihi jumlah keseluruhan bagi Ramadan 2024.