16 pengganas serang kereta api dibunuh, 104 penumpang terselamat

16 pengganas serang kereta api dibunuh, 104 penumpang terselamat

Keretapi Jaffar Express itu diserang ketika melalui sebuah terowong di daerah Bolan, Pakistan.

Seramai 16 pengganas dibunuh pasukan keselamatan Pakistan selepas menyerang sebuah kereta api membawa lebih 400 penumpang dari Quetta di wilayah Balochistan ke Peshawar. (Gambar EPA Images)
NEW DELHI:
Pasukan keselamatan Pakistan membunuh 16 pengganas yang menyerang sebuah kereta api yang membawa lebih 400 penumpang dari Quetta di wilayah Balochistan ke Peshawar.

Keretapi Jaffar Express itu diserang ketika melalui sebuah terowong di daerah Bolan pada Selasa petang.

Kumpulan militan terbabit meletupkan landasan kereta api dan mengambil tebusan, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Kumpulan Tentera Pembebasan Balochistan (BLA) yang diharamkan, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, menurut laporan media Pakistan.

Sekurang-kurangnya 104 penumpang, termasuk 31 wanita dan 15 kanak-kanak, berjaya diselamatkan, menurut laporan itu.

Seramai 17 orang yang cedera telah dibawa ke hospital.

Pengganas dilaporkan “berhubung dengan dalang mereka di luar negara melalui telefon satelit,” kata satu laporan yang memetik pegawai keselamatan.

Pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi pembersihan bagi menyelamatkan baki tebusan yang tidak diketahui jumlahnya.

Mereka beroperasi dalam keadaan yang mencabar dan bertindak dengan berhati-hati kerana pengganas menggunakan wanita dan kanak-kanak sebagai perisai manusia, menurut Menteri Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri Pakistan, Talal Chaudhry, kepada saluran televisyen Geo News.

Beliau berkata penyerang telah membawa ramai tebusan ke kawasan pergunungan terpencil.

“Pasukan keselamatan sedang melaksanakan operasi berskala penuh, dan semua penumpang akan diselamatkan tidak lama lagi,” kata Chaudhry.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.