Jepun gagal peroleh jaminan dikecuali tarif AS

Jepun gagal peroleh jaminan dikecuali tarif AS

Rundingan berakhir tanpa jaminan rasmi Jepun akan dikecualikan tarif sepertimana mahu dilaksana pentadbiran Donald Trump.

Yoji Muto
Menteri Perdagangan Jepun Yoji Muto, berkata menjadi komitmen Tokyo melindungi syarikat Jepun daripada kesan tarif yang dicadang dikenakan oleh AS. (Gambar EFA Images)
WASHINGTON:
Menteri Perdagangan Jepun Yoji Muto mengadakan rundingan dengan pegawai Amerika Syarikat (AS) pada Isnin dalam usaha mendapatkan pengecualian tarif baharu dirancang Presiden Donald Trump.

Bagaimanapun, rundingan itu berakhir tanpa sebarang jaminan rasmi bahawa Jepun akan dikecualikan.

Agensi Berita Kyodo melaporkan Muto mengadakan pertemuan berasingan dengan wakil perdagangan AS, Jamieson Greer serta Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick di Washington.

Beliau menegaskan komitmen Tokyo untuk terus melindungi syarikat Jepun daripada terkesan tarif dicadangkan pentadbiran Trump.

“Berdasarkan perbincangan terkini, kami akan terus berunding rapat bagi memastikan kepentingan nasional Jepun dan Amerika Syarikat dapat dimanfaatkan secara bersama,” katanya dalam sidang media.

Sejak Trump kembali ke Rumah Putih untuk penggal kedua pada 20 Jan, Muto mengadakan beberapa pertemuan dengan individu penting yang merangka dasar tarif baharu itu, termasuk Pengarah Majlis Ekonomi Negara Rumah Putih, Kevin Hassett.

Perbincangan itu berlangsung dua hari sebelum tarif 25% ke atas semua import keluli dan aluminium mula dikuatkuasakan.

Muto berkata, beliau dan pegawai AS bersetuju menjalin kerjasama erat dalam memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.

Beliau turut menekankan pelaburan besar dan berterusan syarikat Jepun di AS.

Selain isu tarif, perbincangan turut merangkumi kerjasama dalam sektor tenaga, termasuk pembangunan gas asli cecair (LNG) di Alaska, meskipun butiran lanjut tidak didedahkan.

Ketika ditanya mengenai perintah eksekutif yang menghalang pengambilalihan U.S. Steel oleh syarikat Jepun, Nippon Steel bernilai USD14.1 bilion, Muto berkata, “Saya tidak akan mengulas secara terperinci, namun saya percaya pihak swasta yang terlibat akan meneruskan rundingan mengenai pelan khusus mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.