Israel henti bekalan elektrik Gaza menjelang rundingan gencatan senjata

Israel henti bekalan elektrik Gaza menjelang rundingan gencatan senjata

Ratusan ribu penduduk Gaza terpaksa bergantung kepada tenaga solar dan generator untuk mengharungi suhu 12 darjah Celsius pada sebelah malam dalam khemah.

Gaza
Khemah baru didirikan bagi menempatkan rakyat Palestin kehilangan rumah mereka dalam serangan Israel di kawasan kejiranan Zeitoun. (Gambar AP)
BAITULMAQDIS:
Israel mengarahkan bekalan elektrik di Gaza dihentikan segera pada Ahad dalam usaha menekan Hamas membebaskan tawanan menjelang rundingan gencatan senjata baharu.

Israel membuat keputusan itu seminggu selepas ia menyekat semua bantuan kemanusiaan ke Gaza, langkah mengingatkan tindakan rejim Zionis ketika mula melancarkan perang di Gaza.

Hamas menyifatkan tindakan memutuskan bekalan elektrik itu sebagai “pemerasan”, istilah yang turut digunakan selepas Israel menyekat bantuan kemanusiaan.

Fasa awal gencatan senjata berakhir 1 Mac lalu.

Hamas berulang kali menggesa rundingan fasa kedua gencatan senjata dimulakan segera bagi menamatkan perang secara kekal.

Israel berkata, ia lebih suka melanjutkan fasa satu sehingga pertengahan April dan menghentikan bantuan ke Gaza disebabkan kebuntuan.

“Saya baru saha menandatangani arahan untuk menghentikan bekalan elektrik serta-merta ke Semenanjung Gaza,” kata Menteri Tenaga Eli Cohen dalam rakaman video.

“Kami akan menggunakan semua kaedah untuk membawa pulang tawanan dan memastikan Hamas tidak lagi berada di Gaza selepas perang.”

Izzat al-Rishq, ahli Biro Politik Hamas menyifatkan langkah Israel sebagai “cubaan terdesak untuk menekan rakyat kita dan tentangan mereka melalui taktik pemerasan murahan serta tidak boleh diterima”.

Beberapa hari selepas perang meletus pada 7 Okt 2023, Israel memotong bekalan elektrik ke Gaza dan hanya dipulihkan pada pertengahan 2024.

Rakyat Gaza kini bergantung kepada panel solar dan generator bahan api untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Ratusan ribu rakyat Palestin di Gaza tinggal dalam khemah, dengan suhu pada waktu malam kini diramalkan sekitar 12 darjah Celsius.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.