Trump hantar surat kepada Iran gesa rundingan nuklear

Trump hantar surat kepada Iran gesa rundingan nuklear

Presiden AS itu berbuat demikian bagi menghalang Tehran membangunkan senjata nuklear.

Donald Trump dalam suratnya kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Khamenei menekankan keutamaan pendekatan diplomasi berbanding tindakan ketenteraan. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat mengesahkan beliau menghantar surat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Khamenei menggesa rundingan bagi menghalang Iran membangunkan senjata nuklear, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam surat yang dihantar Khamis itu, Trump menekankan keutamaannya terhadap pendekatan diplomasi berbanding tindakan ketenteraan, menurut laporan Axios memetik pratonton temu bual dengan Fox Business Network.

“Saya berharap anda akan berunding kerana ia jauh lebih baik untuk Iran,” kata Trump.

Beliau turut menegaskan “alternatif lain” adalah AS terpaksa mengambil “sesuatu tindakan” kerana “tidak boleh membiarkan mereka memiliki senjata nuklear”.

Awal minggu ini, Rusia bersetuju membantu Trump bekerjasama dengan Iran mengenai program nuklear negara itu.

Kenyataan Trump menyusul ketika pentadbirannya memberi isyarat bercampur-campur mengenai Iran. Walaupun beliau berikrar melaksanakan semula tekanan maksimum ke atas Tehran, beliau turut menyeru “perjanjian damai nuklear disahkan”.

AS menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran di bawah Rancangan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 2018, dengan melaksanakan sekatan ketat dan mengasingkan Iran secara diplomatik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.