
Yoon ditahan di pusat tahanan di Uiwang, selatan Seoul, sejak 15 Jan lepas, setelah disoal siasat atas tuduhan menghasut pemberontakan ekoran pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Dis.
Dengan keputusan itu, Yoon akan dibicarakan tanpa perlu menjalani tahanan fizikal.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengumumkan keputusan itu pada Jumaat, kira-kira sebulan selepas pasukan pembelaannya mengemukakan permohonan pembatalan penahanan.
Mereka berhujah, pendakwaan yang difailkan pada 26 Jan adalah tidak sah kerana dibuat sehari selepas tempoh tahanan Yoon tamat.
Menurut undang-undang, seorang suspek yang ditahan hanya boleh terus berada dalam tahanan jika tuduhan difailkan dalam tempoh ditetapkan.
Bagaimanapun, pihak pendakwa bertegas, pendakwaan dilakukan dalam tempoh yang dibenarkan, menyatakan kod prosedur jenayah menetapkan tempoh dikira dalam hari, bukan jam dan minit seperti yang didakwa pasukan pembelaan Yoon.
Mahkamah menjelaskan, tempoh tahanan perlu dikira mengikut jam, dan mendapati bahawa pendakwaan dibuat di luar had masa yang ditetapkan.
Pasukan pembelaan Yoon turut berhujah, pengisytiharan undang-undang tentera oleh presiden tidak boleh dikategorikan sebagai satu bentuk pemberontakan, menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai risiko memusnahkan bukti.
Namun, pihak pendakwa menolak dakwaan itu dengan menyatakan bahawa risiko pemusnahan bukti masih tinggi.