Umat Islam di Indonesia mula puasa Sabtu

Umat Islam di Indonesia mula puasa Sabtu

Umat Islam di Singapura, Thailand dan Kemboja akan mula berpuasa Ahad ini.

Tiada anak bulan Ramadan kelihatan semasa proses pencerapan di beberapa lokasi di Singapura, Thailand dan Kemboja selepas matahari terbenam pada Jumaat. (Gambar Bernama)
JAKARTA:
Umat Islam di Indonesia akan mula berpuasa Sabtu (1 Mac), manakala Singapura, Thailand dan Kemboja pula pada Ahad (2 Mac).

Menteri Agama Indonesia, Nasaruddin Umar dalam sidang media mengumumkan 1 Ramadan 1446 Hijrah bersamaan Sabtu ini, 1 Mac.

Pengumuman itu dibuat selepas persidangan Isbat (persidangan penentuan tarikh Ramadan) pada Jumaat malam, membabitkan pegawai kementerian, Majlis Ulama Indonesia, anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia serta wakil dari kedutaan besar di Indonesia. Turut hadir Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia, Mohd Shamsuri Ghazali.

Indonesia mempunyai majoriti populasi Muslim terbesar di dunia, dengan 87% daripada 282 juta penduduk di republik itu beragama Islam.

Di Singapura, Mufti Nazirudin Mohd Nasir berkata, mengikut kiraan hisab, bulan berada pada kedudukan jarak lengkung 5.1 darjah dan ketinggian 4.3 darjah ketika matahari terbenam pada petang Jumaat, sekali gus gagal memenuhi kriteria imkanur rukyah yang dipersetujui negara anggota Mabims (Menteri-menteri agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura).

“Oleh itu, anak bulan Ramadan tidak dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan esok hari penggenap bulan Syaaban sebanyak 30 hari.

“Sukacita saya mengisytiharkan awal Ramadan tahun ini jatuh pada lusa, Ahad bersamaan 2 Mac 2025,” katanya dalam klip video dimuat naik di laman sosial Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), pada Jumaat.

Sempena bulan Ramadan, beliau mengajak semua umat Islam menggandakan semua amal kebajikan.

Ketua Sheikhul Islam Thailand, Arun Boonchom mengumumkan umat Islam di negara itu akan mula berpuasa Ahad ini kerana tiada anak bulan Ramadan kelihatan semasa proses pencerapan di beberapa lokasi di wilayah selatan, selepas matahari terbenam pada Jumaat.

Arun membuat pengumuman itu di Pusat Pentadbiran Hal Ehwal Islam Kebangsaan Chalermprakiart di wilayah Samut Prakan yang turut disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan radio.

Sementara itu, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Agama Islam Kemboja pada petang Jumaat mengumumkan umat Islam di negara itu akan mula berpuasa Ahad ini.

Sekitar 300,000 umat Islam akan menyambut Ramadan di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.