
NEW DELHI: Lebih 50 pekerja projek pembinaan jalan raya ditimbus runtuhan salji di daerah Chamoli, Uttarakhand, India, pagi Jumaat.
Sepuluh daripadanya diselamatkan setakat ini, menurut laporan media tempatan.
“Runtuhan salji berlaku dekat kem Border Roads Organisation (BRO) di kawasan sempadan Mana, menyebabkan 57 pekerja terlibat dalam projek itu terperangkap.
“Kami tiada jumlah tepat ketika ini. Sepuluh orang diselamatkan, sebahagiannya mengalami kecederaan, tetapi tahap kecederaan mereka belum jelas,” kata Komander BRO Ankur Mahajan dipetik akhbar Hindustan Times.
Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami, berkata usaha menyelamat dilancarkan Pasukan Polis Sempadan Indo-Tibet dan anggota BRO.