Australia kritik Thailand usir etnik Uighur ke China

Australia kritik Thailand usir etnik Uighur ke China

Kumpulan hak asasi manusia menuduh penindasan meluas Beijing terhadap etnik Uighur di wilayah Xinjiang.

Thailand mengesahkan pengusiran rahsia 40 etnik Uighur sebelum subuh yang dikecam PBB, AS dan kumpulan hak asasi manusia. (Gambar EPA Images)
SYDNEY:
Australia “sangat tidak bersetuju” dengan keputusan Thailand memindahkan 40 etnik Uighur ke China kerana bimbang layanan Beijing terhadap mereka, kata Menteri Luar, Penny Wong.

Kumpulan hak asasi manusia menuduh penindasan meluas China terhadap etnik Uighur, minoriti beragama Islam dengan kira-kira 10 juta populasi di wilayah barat Xinjiang. Beijing bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Semalam, Thailand mengesahkan pengusiran rahsia 40 etnik Uighur sebelum subuh yang dikecam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat (AS) dan kumpulan hak asasi manusia, walaupun China menyatakan pengusiran itu mematuhi undang-undang kedua-dua negara.

“Kerajaan Australia sangat tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Thai memindahkan 40 etnik Uighur ke China tanpa kerelaan mereka,” kata Wong dalam kenyataan.

Langkah itu menyusul walaupun pakar hak asasi manusia PBB menggesa etnik Uighur tidak dihantar ke China. Thailand menahan kumpulan terbabit selama 10 tahun selepas mereka melarikan diri dari China pada 2014.

Menurut pakar, etnik Uy\ighur berdepan risiko diseksa, layanan buruk dan “kemudaratan tidak dapat dipulihkan” jika diusir ke China.

“Australia sangat bimbang dengan situasi hak asasi manusia di Xinjiang dan layanan terhadap etnik Uighur serta minoriti beragama Islam lain di China.

“Kami berulang kali menyuarakan kebimbangan kami kepada kerajaan Thailand dan turut menyuarakan harapan berhubung layanan terhadap kumpulan itu dengan pihak berkuasa China,” kata Wong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.