Mesir tolak cadangan Israel tadbir Gaza

Mesir tolak cadangan Israel tadbir Gaza

Ketua pembangkang Israel, Yair Lapid mencadangkan Mesir mentadbir Gaza selama 15 tahun sebagai pertukaran membatalkan hutang luar negara Kaherah lebih USD150 bilion.

Jurucakap Kementerian Luar Mesir menyifatkan cadangan untuk Kaherah mentadbir wilayah Palestin buat sementara tidak akan menyelesaikan konflik secara muktamad. (Gambar AP)
KAHERAH:
Mesir pada Rabu menolak sebarang cadangan mengambil alih pentadbiran Semenanjung Gaza, susulan gesaan ketua pembangkang Israel, Yair Lapid untuk Kaherah mentadbir wilayah Palestin itu buat sementara, lapor Anadolu Ajansi.

Jurucakap Kementerian Luar Mesir menyifatkan cadangan itu langkah sementara yang hanya akan berlarutan tanpa menyelesaikan konflik secara muktamad.

“Sebarang cadangan menyimpang daripada pendirian tetap Mesir dan negara Arab serta asas penyelesaian konflik sebenar – iaitu pengunduran Israel dari wilayah Palestin diduduki dan penubuhan negara Palestin merdeka – tidak boleh diterima,” kata jurucakap kementerian, Tamim Khallaf dalam kenyataan.

Beliau menegaskan Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur sebahagian wilayah Palestin yang sepatutnya berada di bawah kedaulatan penuh rakyat Palestin.

Selasa lalu, Lapid mencadangkan Mesir mengambil alih pentadbiran Gaza selama 15 tahun sebagai pertukaran membatalkan hutang luar negara Kaherah berjumlah lebih USD150 bilion.

Ketua pembangkang itu menyuarakan cadangan itu ketika berucap di “Foundation for Defense of Democracies” di Washington dan kemudiannya dimuat naik ke X.

Lapid mendakwa dalam tempoh 15 tahun itu, “Gaza akan dibangunkan semula dan syarat untuk pemerintahan sendiri akan diwujudkan. Mesir akan menjadi pemain utama dan menyelia pembinaan semula Gaza, sekali gus mengukuhkan ekonominya”.

Sementara itu, kumpulan Hamas menolak sebarang cadangan meletak senjata atau dikeluarkan dari Gaza, sambil menegaskan masa depan wilayah itu mesti ditentukan melalui konsensus nasional rakyat Palestin.

Israel terus menduduki wilayah Palestin, Syria dan Lubnan serta enggan berundur atau mengiktiraf negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya berdasarkan garis sempadan sebelum 1967.

Gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tawanan dikuatkuasakan di Gaza sejak bulan lalu, menghentikan sementara perang Israel yang meragut hampir 48,350 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan wilayah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.