Prabowo lancar khidmat deposit emas bank bulion

Prabowo lancar khidmat deposit emas bank bulion

Presiden Indonesia berkata selain bertujuan percepat simpanan dan rizab emas negara, bank bulion mampu dijadikan alat kawalan kestabilan monetari.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto, berkata bank bulion pertama di republik itu dijangka mewujudkan 1.8 juta peluang kerja. (Gambar Presidential Secretariat’s Press Bureau)
JAKARTA:
Presiden Prabowo Subianto melancarkan perkhidmatan bank bulion pertama Indonesia yang akan menyediakan perkhidmatan deposit emas, menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah penting meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Berucap pada majlis di Jakarta Pusat, Prabowo menyatakan bahawa perkhidmatan perbankan bulion baharu yang ditawarkan oleh PT Pegadaian dan Bank Syariah Indonesia dijangka menyumbang IDR245 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan 1.8 juta pekerjaan baharu.

“Indonesia yang memiliki rizab emas keenam terbesar di dunia, buat pertama kalinya akan mempunyai bank bulion. Kami berharap ini akan mempercepat simpanan dan meningkatkan rizab emas negara,” katanya, dengan acara itu disiarkan secara langsung oleh Sekretariat Presiden.

Menurutnya, pengenalan perkhidmatan perbankan bulion dijangka mengoptimumkan industri pemprosesan emas Indonesia dari huluan ke hiliran, menjimatkan pertukaran asing serta menjadi alat kawalan kestabilan monetari melalui kecairan emas.

Beliau turut menekankan pengeluaran emas Indonesia telah meningkat daripada 100 tan kepada 160 tan setahun.

Penubuhan perkhidmatan perbankan bulion itu mengikut Peraturan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan No 17 Tahun 2024, yang menetapkan syarat ekuiti minimum sebanyak IDR14 trilion bagi institusi yang terlibat dalam perniagaan bulion.

Bank Syariah Indonesia menerima lesen pada 12 Feb 2025, manakala PT Pegadaian memperoleh lesennya pada 23 Dis 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.