Lelaki ditahan cuba seludup kokain bawah rambut palsu

Lelaki ditahan cuba seludup kokain bawah rambut palsu

Polis berkata kokain dianggarkan kira-kira 400 dos dengan nilai pasaran sekitar €10,000 (USD10,500) ditemui bawah rambut palsu suspek.

Warga Colombia itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Cartagena pada Isnin kerana menyembunyikan 19 peket dadah di bawah rambut palsunya.
MEXICO CITY:
Pihak berkuasa Colombia menahan seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Cartagena pada Isnin kerana cuba menaiki penerbangan ke Belanda dengan 19 peket dadah tersembunyi di bawah rambut palsunya, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Warga Colombia berusia 40 tahun itu ditahan semasa pemeriksaan di lapangan terbang ketika cuba menaiki penerbangan ke Amsterdam, menurut kenyataan polis.

Menurut polis, hasil daripada pemeriksaan bahan yang ditemui bawah rambut palsu itu disahkan kokain, dianggarkan bersamaan kira-kira 400 dos dengan nilai pasaran sekitar €10,000 (USD10,500).

Polis Colombia memaklumkan lelaki itu sudah dua kali dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan berkaitan penyeludupan dadah. Dia kini akan didakwa atas kesalahan mengedar, mengeluarkan dan memiliki bahan terlarang.

Pegawai Polis Metropolitan Cartagena, Gelver Yecid Peña Araque, berkata lebih 450 individu ditahan atas kesalahan berkaitan dadah sejak awal tahun ini, manakala lebih 115kg dadah dirampas, termasuk ganja, pes kokain dan kokain.

Tahun lepas, 848.5 tan kokain dirampas di Colombia, tertinggi pernah direkodkan dan meningkat 14% berbanding tahun sebelumnya.

Selepas Amerika Syarikat, Eropah pasaran terbesar bagi kokain yang berasal dari Colombia, Peru dan Bolivia. Lebih 300 tan kokain dirampas di pelabuhan Eropah sepanjang 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.