
Lelaki berusia 60 tahun itu, yang tidak didedahkan identitinya, memasuki Thailand pada awal 2000 menggunakan visa pelancong dan terus menetap secara haram. Dia malah berjaya mengelak pemeriksaan polis sebelum ini apabila sentiasa mendakwa visanya dalam proses dilanjutkan.
Dia akhirnya ditangkap di wilayah utara, Chiang Mai, semalam, susulan serbuan pegawai imigresen terhadap warga asing yang tinggal melebihi had dibenarkan – lebih 9,000 hari selepas tiba di negara itu menggunakan visa pelancong yang sah 30 hari.
“Selepas menyemak namanya dalam sistem imigresen, kami mendapati dia memasuki Thailand sejak 2000 dan tidak pernah mempunyai cop lain dalam sistem kami sejak itu,” kata seorang pegawai kanan operasi itu.
“Dia tinggal 9,135 hari lebih tempoh dibenarkan di Thailand, iaitu rekod baharu. Rekod sebelum ini dipegang lelaki Pakistan yang tinggal 10 tahun melebihi tempoh dibenarkan.”
Lelaki itu yang akan diusir pulang ke Britain malah berjaya memperbaharui pasport pada 2018, namun dokumen berkenaan langsung tiada cop imigresen.
Menurut polis, lelaki itu tinggal di Bangkok selama 13 tahun malah membina kehidupan dan mempunyai seorang anak dengan wanita tempatan.
Keluarga itu berpindah ke Chiang Mai 12 tahun lalu atas faktor ekonomi, dan polis berkata lelaki itu tidak bekerja sebaliknya bergantung kepada wang dikirimkan daripada keluarganya di Britain.
Menurut polis, lelaki itu berjaya mengelak ditahan sebelum ini dengan memberi alasan visanya dalam proses dilanjutkan kerana semakan perkara itu hanya boleh dilakukan pihak biro imigresen.