
Telegram bersama platform media sosial lain diminta memberi maklumat mengenai langkah diambil bagi menangani kandungan berkaitan keganasan dan ekstremisme dalam perkhidmatan mereka.
Telegram juga diminta menjelaskan usaha mereka dalam memerangi bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Pada Isnin, eSafety memaklumkan platform lain memenuhi tarikh akhir 6 Mei 2024 dan hanya Telegram memberikan maklum balas pada 31 Okt lalu.
“eSafety menganggap Telegram gagal mematuhi notis ketelusan dan mengenakan notis pelanggaran sebanyak AD957,780,” katanya dalam kenyataan itu.
Pesuruhjaya eSafety, Julie Inman Grant, berkata notis pelanggaran itu memberi mesej jelas kepada industri bahawa ketelusan dalam masa ditetapkan bukan satu pilihan di Australia.
“Jika kita mahukan akauntabiliti daripada industri teknologi, kita perlu ketelusan lebih tinggi. Kuasa ini membolehkan kita melihat bagaimana platform ini menangani atau tidak menangani pelbagai ancaman serius dalam talian yang memberi kesan kepada rakyat Australia.”
Beliau turut menegaskan ancaman kandungan berkaitan keganasan dan ekstremisme yang dikongsi serta dipromosikan dalam talian semakin meningkat, justeru penyedia teknologi mesti bertanggungjawab dengan memastikan ketelusan serta mengambil langkah mengelakkan perkhidmatan mereka disalahgunakan.
“Penyelidikan dan pemerhatian menunjukkan kandungan sebegini boleh menghilangkan sensitiviti, menjadi normalisasi, malah kadangkala radikal – terutama golongan muda terdedah kepada bahan berbahaya.”
Telegram diberi tempoh 28 hari untuk memohon pembatalan notis pelanggaran, membuat pembayaran atau memohon lanjutan tempoh bayaran.