7 polis, 16 orang awam cedera dalam letupan bom di Yala

7 polis, 16 orang awam cedera dalam letupan bom di Yala

Polis berkata serangan berhampiran sebuah pasar raya di daerah Bannang Sata dipercayai menyasarkan dua kenderaan polis.

Serangan bom di berhampiran sebuah pasar raya di daerah Bannang Sata, Yala itu berlaku sehari sebelum lawatan kerja bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra ke wilayah itu. (Gambar fail)
NARATHIWAT:
Dua puluh tiga individu termasuk tujuh orang anggota polis cedera dalam satu kejadian serangan bom berhampiran sebuah pasar raya di daerah Bannang Sata, Wilayah Yala, malam tadi.

Ketua Polis Bannang Sata, Ranon Surawit, berkata kejadian berlaku pada 8.20 malam waktu tempatan dan dipercayai dilakukan oleh kumpulan bersenjata yang sedang dijejaki pihak berkuasa.

“Ketika kejadian, beberapa anggota polis sedang melakukan rondaan dengan menaiki dua kenderaan pacuan empat roda.

“Apabila kenderaan polis tiba di pasar raya itu, sebutir bom yang disembunyikan di kawasan berhampiran dan diaktifkan menggunakan alat kawalan jauh meletup,” katanya kepada media selepas melawat lokasi kejadian.

Katanya, semua mangsa yang terdiri daripada tujuh anggota polis dan 16 orang awam dibawa ke Hospital Bannang Sata untuk mendapatkan rawatan, dan siasatan polis sedang giat dijalankan.

Insiden letupan itu berlaku sehari sebelum lawatan kerja bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, ke wilayah selatan Thailand dalam usaha mencari penyelesaian kepada konflik yang berlarutan sekian lama.

Lawatan itu merupakan kunjungan pertama Thaksin ke wilayah berkenaan sejak dilantik sebagai penasihat tidak rasmi pengerusi Asean, serta lawatan pertamanya ke kawasan itu selepas lebih 20 tahun sejak pentadbirannya dijatuhkan pada 2006.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.