Sidang kemuncak pemimpin Arab mula bincang pemulihan Gaza

Sidang kemuncak pemimpin Arab mula bincang pemulihan Gaza

Pemimpin Arab turut menyuarakan sokongan terhadap Sidang Kemuncak Tergempar Liga Arab yang dijadualkan berlangsung di Kaherah 4 Mac nanti.

Jabaliya gaza
Keadaan di Jabaliya, Semenanjung Gaza yang musnah dibedil rejim Zionis. (Gambar AP)
RIYADH:
Pemimpin Arab berhimpun di Riyadh pada Jumaat bagi membincangkan usaha bersama menyokong perjuangan Palestin dan perkembangan terkini di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi memetik Agensi Berita Saudi (SPA).

Pemimpin itu menyuarakan sokongan terhadap Sidang Kemuncak Tergempar Liga Arab yang dijadualkan berlangsung di Kaherah 4 Mac nanti.

Mesyuarat itu diadakan atas jemputan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dan dihadiri Raja Jordan Raja Abdullah II, Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, Presiden Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, Amir Kuwait Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah dan Putera Mahkota Bahrain Salman bin Hamad Al Khalifa.

Pertemuan itu berlangsung pada saat kritikal selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan merancang pemindahan penduduk Palestin dari Gaza dan mengambil alih wilayah itu.

Cadangan itu mendapat kecaman hebat dunia Arab dan banyak negara lain yang menganggapnya tindakan pembersihan etnik.

Pemimpin Arab bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, dengan memfokuskan perjuangan Palestin dan keadaan di Gaza.

Kementerian Luar Mesir pada 18 Feb lalu mengumumkan Sidang Kemuncak Tergempar Liga Arab yang pada asalnya dijadualkan 27 Feb ini ditunda ke 4 Mac atas sebab logistik dan persiapan.

Pada 16 Feb lalu, al-Sisi mengesahkan negaranya sedang merangka pelan komprehensif untuk membangunkan semula Gaza tanpa memindahkan penduduknya.

Gaza kini dalam keadaan porak-peranda selepas perang selama berbulan-bulan.

Gencatan senjata berkuat kuasa bulan lalu, menghentikan serangan Israel yang meragut lebih 48,300 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.