
Prensa Latina melaporkan bahawa Kementerian Kerja Raya dan Perumahan wilayah itu menganggarkan 170,000 rumah telah dimusnahkan, manakala 80,000 lagi tidak selamat didiami.
Kementerian itu menegaskan bahawa usaha sedang dijalankan untuk melengkapkan pautan pangkalan data banci pertama dengan sistem maklumat geografi, menerusi penyelarasan bersama pihak berkuasa perbandaran.
Ia turut menyatakan bahawa proses tinjauan lapangan meningkat selepas gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Jan, kerana pasukan kerja akhirnya dapat memasuki kawasan yang sebelum ini tidak boleh diakses akibat perang.
Bulan lalu, Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan Israel telah merosakkan atau memusnahkan 179,812 bangunan di Gaza, bersamaan 69% daripada keseluruhan bangunan di wilayah itu, sejak konflik bermula pada Oktober 2023 hingga 1 Disember 2024.
PBB menganggarkan bahawa pemulihan semula Gaza akan mengambil masa sehingga 15 tahun dan menelan kos lebih USD53 bilion.
Menteri Kerja Raya dan Perumahan Palestin Ahed Faiq Bseiso memberi amaran kerja pembersihan runtuhan di Gaza dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun berikutan tahap kemusnahan meluas akibat serangan Israel.
Pihak Berkuasa Kualiti Alam Sekitar pula menganggarkan bahawa serangan itu telah menyebabkan lebih 42 juta tan sisa runtuhan yang tercemar dengan bahan berbahaya di wilayah berkenaan.