Tak pernah janji Ukraine jadi anggota Nato dalam perjanjian damai

Tak pernah janji Ukraine jadi anggota Nato dalam perjanjian damai

Setiausaha Agung Nato Mark Rutte berkata Ukraine perlu berada dalam kedudukan kukuh dan mendapat perjanjian menghalang Rusia menyerang negara itu semula.

Setiausaha Agung Nato Mark Rutte menafikan Ukraine dijanjikan keanggotaan pertubuhan itu sebagai sebahagian perjanjian damai. (Gambar AP)
ANKARA:
Keanggotaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) tidak pernah dijanjikan kepada Ukraine sebagai sebahagian perjanjian damai, kata Setiausaha Agungnya, Mark Rutte, pada Jumaat.

“Ia tidak pernah dinyatakan sebelum ini, bahkan ia tidak disebut dalam kenyataan Sidang Kemuncak Washington yang apabila perjanjian damai dicapai mengenai Ukraine, ia harus melibatkan Nato. Itu tidak benar,” kata Rutte kepada wartawan pada Persidangan Keselamatan Munich, menurut Agensi Anadolu.

Menurutnya, perkara itu perlu dilakukan secara “berperingkat” dan langkah pertama ialah memastikan Ukraine “dalam kedudukan kukuh” serta mendapatkan perjanjian yang akan menghalang Presiden Rusia, Vladimir Putin daripada menyerang Ukraine semula.

Beliau turut menegaskan sekutu Eropah perlu meningkatkan perbelanjaan mereka.

“Adalah jelas jika kita kekal dengan angka semasa, kita tidak akan mencapai matlamat. Kita tidak akan selamat dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang.”

Mengenai peranan Eropah dalam kemungkinan rundingan damai, Rutte berkata, negara Eropah perlu mengemukakan rancangan konkrit, iaitu menyalurkan lebih banyak bantuan ketenteraan kepada Ukraine dan meningkatkan latihan ketenteraan di negara itu.

Katanya, Eropah perlu “mewujudkan kesan di lapangan, menghasilkan kesan melalui rancangan” supaya mendapat tempat di meja rundingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.