Trump ‘isytihar perang’ ke atas straw kertas

Trump ‘isytihar perang’ ke atas straw kertas

Presiden AS itu menandatangani perintah mengarahkan jabatan serta agensi kerajaan tidak lagi memperoleh atau menggunakan straw kertas.

paper straw
Presiden AS Donald Trump berkata straw kertas langsung tidak berfungsi kerana ia tidak tahan lama, khasnya jika digunakan untuk minuman panas.
WASHINGTON:
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump “mengisytiharkan perang” terhadap straw kertas dan mahu mengembalikan penggunaan penyedut plastik, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Trump pada Isnin menandatangani perintah mengarahkan jabatan serta agensi kerajaan AS tidak lagi memperoleh atau menggunakan straw kertas.

Pasukannya juga ditugaskan merangka strategi nasional bagi menamatkan penggunaan straw kertas, selain memansuhkan garis panduan yang merugikan penggunaan penyedut plastik.

“Barang ini langsung tidak berfungsi. Kalau digunakan untuk minuman panas, ia tak tahan lama, kadang-kadang hanya beberapa minit, malah ada yang hanya bertahan beberapa saat.

“Situasi ini tidak masuk akal, jadi kita akan kembali kepada penyedut plastik. Saya fikir itu tidak mengapa.”

Barangan plastik sekali guna seperti cawan, peralatan makan dan penyedut minuman dianggap berbahaya kepada alam sekitar kerana kebanyakannya berakhir di lautan.

Sebagai perbandingan, Kesatuan Eropah mengharamkan penjualan straw plastik sejak pertengahan 2021.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, 9.2 bilion tan plastik dihasilkan sejak 1950-an – bersamaan berat kira-kira 910,000 Menara Eiffel.

Sebahagian besar daripadanya tidak boleh terurai secara semula jadi dan akhirnya menjadi sisa di tapak pelupusan atau mencemari lautan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.