
Mohamad yang lebih dikenali Tok Mat menyuarakan pendirian itu ketika dihubungi rakan sejawatnya dari Iran, Seyyed Abbas Araghchi pada Isnin.
Menurut laporan Agensi Berita IRNA, perbincangan itu diadakan sebagai sebahagian rundingan Iran dengan negara lain serta pertubuhan antarabangsa mengenai perkembangan di Gaza, khususnya ancaman pemindahan rakyat Palestin.
Araghchi memuji keteguhan pendirian Malaysia dalam mempertahankan hak rakyat Palestin, khasnya ketika menghadapi “perang genosid” selama 16 bulan oleh rejim Zionis.
Beliau turut mengecam rancangan pemindahan paksa penduduk Gaza yang disifatkan sebahagian projek kolonial untuk menghapuskan Palestin serta menyeru negara Islam berpengaruh mengambil pendirian tegas dan bersatu dalam menentang tindakan itu.
Araghchi turut memaklumkan Mohamad mengenai rundingannya dengan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta beberapa negara Islam dan Arab bagi mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Beliau menyeru Malaysia menyokong inisiatif ini.
“Mohamad turut mengalu-alukan cadangan Iran mengadakan mesyuarat tergempar OIC dan menyuarakan komitmen Malaysia terhadap mesyuarat ini.”
Araghchi turut menyuarakan rasa puas hati terhadap perkembangan hubungan Tehran dan Kuala Lumpur.
Beliau menyifatkan lawatan rasmi Mohamad ke Iran yang akan datang sebagai peluang penting memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.