Remaja radikal rancang bunuh orang Islam ditahan di Singapura

Remaja radikal rancang bunuh orang Islam ditahan di Singapura

Nick Lee didakwa merancang serangan seperti yang dilaksanakan di beberapa masjid di New Zealand, enam tahun lalu.

Brenton Tarrant EPA 100225
Brenton Tarrant membunuh 51 ahli jemaah di beberapa masjid sekitar Christchurch pada 2019. (EPA Images)
SINGAPURA:
Seorang remaja yang dikatakan menggunakan permainan dalam talian ganas untuk melatih bagi melaksanakan misi membunuh orang Islam ditahan di Singapura, menurut pihak berkuasa hari ini.

Remaja dikenali sebagai Nick Lee, 19, dikatakan merancang serangan seperti yang dilaksanakan Brenton Tarrant di New Zealand, enam tahun lalu.

Tarrant membunuh 51 ahli jemaah di beberapa masjid sekitar Christchurch pada Mac 2019, dalam serangan tembak beramai-ramai paling buruk di negara itu.

“Lee merancang melaksanakan serangan terhadap orang Islam di Singapura bersama individu berhaluan kanan ekstrem sepertinya yang berinteraksi dengannya dalam talian,” menurut jabatan keselamatan dalam negeri (ISD) Singapura.

Menurut jabatan itu, “rancangannya itu termasuk melaksanakan serangan seperti dilakukan Tarrant terhadap orang Islam di masjid di Singapura menggunakan pistol buatan sendiri, pisau, dan bom Molotov,” yang mahu disiarkan secara strim langsung seperti dilakukan Tarrant.

ISD mengeluarkan perintah tahanan terhadap Lee pada Disember di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan.

Lee mula bencikan orang Islam pada 2023 selepas menemui propaganda ekstrem berhaluan kanan anti-Islam di media sosial, menurut ISD.

ISD berkata, dia mencari video strim langsung Tarrant ketika serangan di New Zealand yang ditonton berulang kali.

“Tarrant menjadi idolanya dan mula memainkan watak ala Tarrant dalam permainan simulasi video dalam talian,” menurut ISD.

Lee memuat turun “modifikasi permainan video untuk membolehkannya melakonkan watak Tarrant membunuh orang Islam di Masjid Al-Noor di Christchurch.”

Menurut ISD, Lee menganggap dirinya “supremasis Asia Timur” yang percaya terhadap ketuanan etnik Cina, Korea dan Jepun” selepas terpengaruh dengan bahan dalam talian.

Menurut ISD, Lee sekadar merancang serangan tanpa menetapkan tempoh waktu untuk melaksanakannya, dan siasatan agensi itu mendapati tiada ancaman terhadap Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.