Tubuh negara Palestin di Arab Saudi, cadangan Netanyahu perkauman

Tubuh negara Palestin di Arab Saudi, cadangan Netanyahu perkauman

OIC berkata cadangan itu usaha pembersihan etnik manakala PLO berkata pandangan itu melanggar undang-undang serta konvensyen antarabangsa.

Benjamin Netanyahu
OIC berkata cadangan Benjamin Netanyahu itu usaha mengusir rakyat Palestin, bersifat perkauman, dan penafian berterusan hak rakyat Palestin ke atas tanah airnya. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Negara-negara Arab mengecam cadangan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk menubuhkan sebuah negara Palestin di Arab Saudi, menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap kedaulatan kerajaan itu dan undang-undang antarabangsa dengan memaksa rakyat Palestin meninggalkan tanah air mereka.

Kementerian Luar Palestin dalam kenyataan menyifatkan cadangan Netanyahu sebagai “bersifat perkauman dan antiperdamaian” serta pelanggaran terhadap kedaulatan dan kestabilan Arab Saudi, lapor Agensi Anadolu.

Kenyataan itu menyatakan sokongan penuh kepada Arab Saudi dalam menghadapi provokasi Israel dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengecam kenyataan Netanyahu.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) Hussein Al-Sheikh, berkata kenyataan Israel itu menyasarkan kedaulatan Arab Saudi dan menyifatkan pandangan Netanyahu sebagai “pelanggaran undang-undang serta konvensyen antarabangsa.”

“Negara Palestin hanya akan wujud di tanah Palestin,” katanya di X.

Beliau turut memuji pendirian Arab Saudi yang sentiasa menegaskan kepentingan pelaksanaan ketetapan antarabangsa serta komitmennya terhadap penyelesaian dua negara sebagai asas kepada keselamatan, kestabilan dan keamanan di rantau ini.

Mesir turut mengecam kenyataan Netanyahu sebagai “tidak bertanggungjawab dan sama sekali tidak boleh diterima.”

Dalam kenyataan, Kementerian Luar Mesir menegaskan bahawa negara itu menolak sepenuhnya kenyataan semberono yang mengancam keselamatan dan kedaulatan Arab Saudi.

“Kestabilan dan keselamatan negara Saudi adalah sebahagian daripada kestabilan dan keselamatan Mesir serta negara-negara Arab yang tidak boleh dikompromi,” menurut kenyataan itu.

Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Sudan menganggap kenyataan Israel itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyifatkan kenyataan bersifat perkauman ini sebagai sebahagian daripada penafian berterusan Israel terhadap hak sejarah, politik, dan perundangan rakyat Palestin ke atas tanah air mereka.

OIC turut mengulangi “penolakan dan kecaman terhadap sebarang rancangan atau usaha untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka, yang dianggap sebagai satu bentuk pembersihan etnik, jenayah, dan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.”

Netanyahu sebelum ini mencadangkan agar Palestin ditubuhkan di Arab Saudi dan bukan di tanah air mereka sendiri, menolak sebarang pengiktirafan terhadap kedaulatan Palestin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.