Trump arah Perkhidmatan Rahsia beri maklumat cubaan bunuh tahun lalu

Trump arah Perkhidmatan Rahsia beri maklumat cubaan bunuh tahun lalu

Presiden AS mahu mengetahui dua individu ditembak mati pihak berkuasa dalam dua insiden cubaan bunuh.

Perkhidmatan Rahsia bertindak balas melindungi Donald Trump dalam kejadian tembakan ketika perhimpunan kempennya di Butler, Pennsylvania, pada 13 Julai 2024. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengarahkan Perkhidmatan Rahsia menyerahkan semua maklumat mengenai dua individu yang cuba membunuhnya tahun lalu semasa kempen pilihan raya, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Saya mahu tahu tentang dua pembunuh itu,” kata Trump kepada New York Post.

“Kenapa seorang daripada mereka mempunyai enam telefon bimbit dan kenapa seorang lagi ada aplikasi (asing)?”

Trump menegaskan beliau berhak mengetahui perkara itu.

“Tiada lagi alasan kerana (Joe) Biden,” katanya. “Saya berhak tahu. Dan mereka telah menyembunyikannya terlalu lama.”

Percubaan membunuh Trump kali pertama berlaku semasa kempen di Pennsylvania, pada 13 Julai 2024.

Dalam kejadian itu, Trump terkena tembakan di telinga, seorang penonton terbunuh, dan dua lain cedera.

Perkhidmatan Rahsia memaklumkan mereka menembak mati seorang suspek, Thomas Matthew Crooks, 20 tahun, yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah pentas.

Suspek bersembunyi di atas bumbung sebuah bangunan industri kira-kira 100m dari pentas, di luar kawasan acara.

Pada Oktober 2024, satu suruhanjaya bebas menyiasat serangan itu mendapati terdapat pelbagai kegagalan dalam operasi Perkhidmatan Rahsia, yang akhirnya menyebabkan serangan itu tidak dapat dicegah.

Cubaan kedua membunuh Trump berlaku pada 15 Sept 2024, berhampiran kelab golfnya di Florida.

Menurut pihak berkuasa, pegawai Perkhidmatan Rahsia melepaskan tembakan ke arah penyerang bersembunyi di semak.

Pihak berkuasa menemukan senapang AK-47 dengan teropong, dua beg galas, dan sebuah kamera GoPro di lokasi serangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.