Mesir anjur sidang kemuncak tergempar Arab 27 Feb bincang isu Palestin

Mesir anjur sidang kemuncak tergempar Arab 27 Feb bincang isu Palestin

Kementerian Luar Mesir berkata sidang kemuncak itu dijadualkan berlangsung di Kaherah itu selepas rundingan dengan Bahrain serta presiden Liga Arab.

Kemusnahan di Jabaliya, Semenanjung Gaza akibat serangan udara dan darat rejim Zionis. (Gambar AP)
ANKARA:
Mesir akan menganjurkan sidang kemuncak tergempar Arab pada 27 Feb ini untuk membincangkan perkembangan terkini di wilayah Palestin, lapor Agensi Anadolu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir pada Ahad, sidang kemuncak yang dijadualkan berlangsung di Kaherah itu diadakan selepas rundingan dengan Bahrain serta presiden Liga Arab ketika ini.

Keputusan menganjurkan sidang kemuncak itu dibuat berdasarkan rundingan dan penyelarasan Mesir di peringkat tertinggi bersama negara Arab sejak beberapa hari ini, termasuk Palestin yang meminta sidang ini diadakan bagi membincangkan perkembangan kritikal berkaitan perjuangan negara itu.”

Khamis lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mencetuskan kontroversi dengan mencadangkan rakyat Palestin mendirikan negara mereka di Arab Saudi dan bukan di tanah air sendiri, sekali gus menolak sebarang usaha ke arah kedaulatan Palestin.

Arab Saudi pada Ahad mengutuk keras kenyataan Netanyahu.

Pada 4 Feb lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencetuskan kemarahan apabila mencadangkan Washington “mengambil alih” Gaza dan menempatkan semula rakyat Palestin di negara lain sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan semula.

Cadangan Trump itu menerima kecaman meluas rakyat Palestin, negara Arab serta masyarakat antarabangsa, termasuk Kanada, Perancis, Jerman dan United Kingdom.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.